‘Dos pertama AstraZeneca, dos kedua pun AstraZeneca’

Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin memberi jaminan penerima vaksin AstraZeneca dos pertama akan diberi vaksin jenis sama bagi suntikan dos kedua.

Susulan berita antarabangsa bahawa campuran dua jenis vaksin mampu memberi ketahanan yang lebih, beliau berkata khabar angin yang mengatakan penerima AstraZeneca di Malaysia akan memperoleh vaksin Pfizer-BioNTech bagi dos kedua adalah khabar angin.

“Bagi dos pertama vaksin AstraZeneca, dos kedua juga AstraZeneca. Walaupun kumpulan teknikal membentangkan kepada Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin (JKJAV) mengenai campuran itu, kami masih mengkajinya.

“Kami berpendapat bahawa ia masih belum meyakinkan untuk membuat keputusan mencampurkan dua jenis vaksin. Kami akan terus mengkajinya.

“Buat masa sekarang kami akan memberikan dos yang sama bagi suntikan pertama dan kedua,” katanya pada sidang media mingguan secara maya, hari ini.

Sebelum itu Universiti Oxford menjalankan kajian campuran vaksin itu dan mendapati ia menghasilkan daya tahan yang lebih baik.

Kajian keberkesanan pengambilan vaksin jenis Pfizer bagi suntikan pertama dan AstraZeneca bagi dos kedua selepas empat minggu menunjukkan kepekatan antibodi yang tinggi terhadap protein coronavirus.

Kajian itu, yang digelar Com-COV, mendapati pemberian campuran vaksin daripada dua pengeluar yang berbeza dalam apa saja kombinasi bagi setiap dos suntikan mampu menghasilkan antibodi yang lebih berbanding biasa.

Data itu diperoleh daripada beberapa negara Eropah yang mula menawarkan vaksin alternatif AstraZeneca sebagai suntikan kedua selepas vaksin terbabit dikatakan boleh menyebabkan pembekuan darah.

Sementara itu, Khairy yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi berkata fasa ketiga PICK yang membabitkan vaksinasi terhadap lebih 13.7 juta penduduk Malaysia berumur 18 tahun ke atas, sudah bermula di tujuh negeri dan wilayah.

Beliau berkata fasa yang digerakkan secara berperingkat itu dilaksanakan di Kuala Lumpur, Selangor, Melaka, Putrajaya, Labuan, Pulau Pinang dan Sarawak.

“Pelaksanaan Fasa Tiga digerakkan secara berperingkat di tujuh negeri yang telah mencapai kadar vaksinasi atau diberi janji temu kepada lebih 80 peratus penduduk mereka,” katanya.

Khairy berkata, lebih 16.7 juta individu sudah mendaftar sebagai penerima vaksin setakat semalam, merangkumi lebih 5.36 juta penerima vaksin fasa dua dan 11.4 juta penerima fasa tiga.

“Jumlah warga emas yang berdaftar sudah mencecah sebanyak 2,848,431. Bilangan warga emas yang sudah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin pula adalah sebanyak 2,119,088,” katanya.

Beliau juga memaklumkan beberapa Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Mega akan mula beroperasi pada kapasiti yang lebih tinggi bermula hari ini, dengan pelaksanaan suntikan dos kedua.

BERITA BERKAIT
POPULAR