
Perlindungan optimum Covid-19 melalui dos penggalak.
Pada awal bulan Disember lalu, seramai 25,423,192 individu atau 77.8 peratus daripada jumlah populasi di negara ini sudah lengkap menerima vaksin. Lembah Klang merekodkan peratusan tertinggi dengan 93.5 peratus lengkap divaksin.
Namun, daripada jumlah tersebut, hanya seramai 2,728,294 individu telah menerima suntikan dos penggalak. Sama seperti vaksin dos pertama dan kedua, pengambilan dos penggalak ini juga adalah secara sukarela dan tidak diwajibkan.
Pelbagai kempen giat dilaksanakan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi memastikan penerima dos lengkap vaksin turut menerima suntikan dos penggalak. Namun begitu, ia masih membangkitkan persoalan pokok terhadap keperluan suntikan tersebut.
Menyangkal mitos yang dipercayai umum itu, memetik kenyataan pakar bagi Dasar Kesihatan dan Kesihatan Global, Dr. Khor Swee Kheng yang popular di laman Twitternya, @DrKhorSK, suntikan dua dos sahaja tidak mencukupi dan individu tidak boleh mengharapkan vaksin Covid-19 sebagai suntikan ajaib yang sempurna dengan perlindungan jangka panjang 100 peratus selepas dua dos.
“Pertama sekali hampir setiap vaksin lain memerlukan tiga dos, seperti Hepatitis B, difteria atau polio. Kedua pula sistem imun badan kita secara amnya berfungsi lebih baik dengan lebih banyak pencetus, bukan kurang.
“Atas sebab ini jugalah, dos penggalak bukan sahaja berkesan dan selamat, tetapi ia juga mengikut sistem imun kita dan vaksin lain,” katanya.
Biarpun masih ramai yang cakna akan kepentingan dos penggalak, namun dikhuatiri golongan minoriti inilah yang akan menjadi ‘wabak’ dalam masyarakat. Apa sekalipun, mahu atau tidak mereka wajib sedar dan akur akan bahaya gelombang penularan jangkitan Covid-19 .
Setakat 31 Disember lalu, hanya 6.1 juta individu atau 26.1 peratus sahaja daripada populasi dewasa negara yang sudah menerima dos penggalak vaksin Covid-19 sejak dilaksanakan 13 Oktober lalu. Jumlah tersebut masih kecil jika dibandingkan dengan populasi rakyat Malaysia.
Dalam pada itu Pakar Kesihatan Awam, Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof. Dr. Sharifa Ezat Wan Puteh berkata, dos penggalak adalah sangat diperlukan untuk mencegah jangkitan Covid-19 terutama dengan adanya varian baru.
Situasi ini tidak wajar diambil ringan kerana memberi kesan kepada sistem kesihatan negara.
“Bagaimanapun isunya di sini, sejauh mana dos penggalak ini akan dilakukan? Mengambil contoh di Israel, dos keempat sudah dijalankan tetapi khas untuk keperluan petugas barisan hadapan dan golongan berisiko tinggi.
“Israel telah mempunyai liputan tinggi bagi booster ketiganya, manakala di Malaysia, pemberian booster ketiga masih belum diterima sepenuhnya lagi.
“Maka lebih sesuai pemberian dos penggalak ketiga diberi liputan dahulu sebelum dos keempat diberikan. Di Malaysia, kita juga berhadapan dengan ramai rakyat yang diberi vaksin Sinovac dan
AstraZaneca yang diketahui dianggap kurang berkesan berbanding vaksin mRna lain seperti Pfizer atau Moderna,” jelasnya.
Tambah Dr. Sharifa Ezat, kerajaan boleh menumpukan penerima-penerima vaksin AZ dan Sinovac sebagai penerima booster dalam tempoh tiga bulan setelah vaksin terakhir diterima.