Dos penggalak berkesan kurangkan kes akibat Omicron: KP Kesihatan

Keberkesanan dos penggalak vaksin Covid-19 dilihat berupaya mengurangkan peningkatan jangkitan wabak itu di Malaysia yang dicetuskan oleh gelombang varian Omicron ketika ini, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Katanya, Program Imunisasi Covid-19 Dos Penggalak (PICK-B) telah dimulakan sejak rasmi pada 1 Oktober 2021, di mana sehingga 21 Februari 2022, 14,078,456 dos telah diberikan kepada individu dewasa yang layak atau 59.8 peratus daripada penduduk dewasa di Malaysia.

Menurutnya data terkini dari empat minggu lepas iaitu dari 24 Januari hingga 21 Februari lalu, menunjukkan kumpulan individu tidak divaksin adalah yang paling berisiko dijangkiti Covid-19 yang serius terutama kategori empat dan lima bagi semua kumpulan umur.

“Data terkini dari 4 minggu yang lepas iaitu mulai 24 Januari 2022 sehingga 21 Februari 2022 bagi kes Covid-19 kategori 3 serta kategori 4 dan 5 (per 100 ribu populasi), dan juga kes kematian akibat Covid-19 per 100 ribu populasi.

“Kumpulan individu yang menerima dos penggalak adalah paling terlindung, apabila bawah 20 kes dilaporkan dan dilihat kurang kes jangkitan yang serius iaitu kategori 3, 4, dan 5 dan juga kes kematian,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sehingga semalam, seramai 14,078,456 atau 59.8 peratus populasi dewasa telah menerima dos penggalak.

Pada masa sama, data Covidnow menunjukkan 22,945,040 atau 97.5 peratus individu dewasa telah lengkap divaksinasi, manakala 23,222,810 atau 98.7 peratus lagi menerima sekurang-kurangnya satu dos.

Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata kadar penggunaan katil Unit Rawatan Rapi (ICU) hospital di Johor, Kelantan, Kuala Lumpur dan Melaka menunjukkan peningkatan lebih 50 peratus.

“Johor mencatatkan peningkatan 70 peratus, Kelantan 61 peratus, Kuala Lumpur 58 peratus dan Melaka 54 peratus.

“Selain itu sejumlah 25,099 kes baharu Covid-19 dilaporkan semalam menjadikan kes kumulatif kepada 3,246,779 dan daripada jumlah kes baharu itu, 25,014 kes tempatan dan 85 kes import,” katanya.

Beliau berkata sejumlah 100 daripada kes baharu adalah kategori 3, 4, dan 5 manakala 24,499 terdiri daripada kategori 1 dan 2.

Bagi kes sembuh pula sebanyak 17,749 kes dilaporkan semalam menjadikan kes kumulatif sembuh di negara ini adalah 2,955,404, katanya.

BERITA BERKAIT
POPULAR