
Ketua Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal Saleh.
Ketua Pemuda Umno Dr Akmal Saleh didakwa menggunakan isu peruntukan RM15.7 juta kepada sekolah persendirian Cina seluruh negara untuk kelangsungan politiknya.
Presiden Dong Zong Selangor dan Kuala Lumpur, Chua Kim Boon berkata tindakannya itu tidak mendatangkan faedah kepada rakyat dan negara.
“Membangkitkan isu perkauman dalam persaingan oleh pelbagai parti politik tidak akan mendatangkan faedah kepada rakyat kita amnya dan negara kita khususnya.
“Kerajaan hari ini atau pihak berkuasa yang berkenaan harus mengambil tindakan tegas untuk membendung atau menghentikan semua kenyataan ini sama ada untuk meraih sokongan atau untuk menghasut sentimen perkauman demi kelangsungan politik,” katanya, lapor MalaysiaNow.
Sebelum ini Akmal yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Merlimau mempersoalkan peruntukan RM15.7 juta di mana katanya jumlah yang diterima setiap sekolah Cina adalah dua kali ganda berbanding yang diperuntukkan untuk sekolah agama.
Akmal turut menggesa kerajaan supaya menyerap sekolah persendirian Cina ke dalam sistem pendidikan negara sekiranya mereka menghadapi masalah kewangan.
Sementara itu, Timbalan Presiden Dong Zong Tan Yew Sing berkata jumlah yang diterima kali ini hampir sama dengan peruntukan yang diberikan oleh kerajaan terdahulu.
Jelasnya, jumlah perbelanjaan bagi 63 sekolah persendirian Cina itu mencecah RM400 juta dan jumlah yuran yang dikutip RM360 juta.
“Dengan subsidi kerajaan sebanyak RM15 juta, komuniti masih perlu mencari RM25 juta dalam perbelanjaan operasi. Tambahan pula, perbelanjaan pembangunan berjumlah RM100 juta setahun,” jelasnya.