Doktor kontrak: Armada zahirkan penghargaan kepada kerajaan

Keputusan Kabinet berhubung status pegawai perubatan kontrak seperti diumumkan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini membuktikan keprihatinan kerajaan dalam menyelesaikan masalah dihadapi doktor kontrak.

Sehubungan itu, Biro Perhubungan & Pengaduan Awam dan Biro Profesional Muda Armada Bersatu Malaysia merakamkan penghargaan kepada kerajaan kerana memberi perhatian kepada masalah itu.

Pendekatan solusi ini lebih menjurus kepada jangka masa pendek, tetapi sekurang-kurangnya telah diambil perhatian oleh Perdana Menteri dan barisan Kabinet kerajaan kini, kata pengerusi biro berkenaan, Abdul Mutalib Hasan dan Alif Rosli dalam kenyataan bersama hari ini.

Mereka berkata Armada juga mengharapkan kerajaan mempertimbangkan lantikan terus kepada semua Pegawai Perubatan, Pegawai Pergigian dan Pegawai Farmasi yang terlibat bagi menyelesaikan isu ini dan sekali gus menambah baik kualiti perkhidmatan kesihatan di Malaysia.

Keputusan itu juga kata mereka membuktikan kerajaan memahami tuntutan kumpulan petugas kesihatan berstatus kontrak ini dan sedar sumbangan dan peranan mereka sebagai barisan hadapan adalah amat penting dalam memberikan perkhidmatan kesihatan terbaik kepada rakyat.

“Armada Bersatu Malaysia juga berharap pihak Doktor Kontrak dapat sentiasa bersama-sama dengan Kerajaan Malaysia dengan semangat patriotisme yang tinggi bagi membantu rakyat Malaysia khasnya ketika negara bergelut untuk membangunkan kembali negara kita yang tercinta.

“Insya-Allah dengan pengumuman ini akan memberi nafas baharu kepada lebih kurang 28,000 Doktor Kontrak secara tidak langsung yang terlibat dalam hal ini,” kata mereka.

Terdahulu, Perdana Menteri berkata kontrak pegawai perubatan, pergigian dan farmasi lantikan kontrak akan dilanjutkan antara dua tahun hingga empat tahun selepas menamatkan khidmat wajib sekarang.

Antara persetujuan lain yang turut dicapai adalah menambah baik kemudahan atau faedah yang ditawarkan kepada pegawai perubatan, pegawai pergigian dan pegawai farmasi lantikan kontrak seperti cuti tugas khas perubatan, cuti tibi dan kemudahan tambang mengunjungi wilayah asal.

BERITA BERKAIT
POPULAR