DoJ pulangkan RM1.9b lagi dana 1MDB diseleweng kepada Malaysia

Jabatan Kehakiman (DoJ) Amerika Syarikat (AS) memulangkah tambahan AS$452 juta (RM1.9 bilion) dana 1Malaysia Development Bhd (1MDB) yang disalahguna kepada rakyat negara ini, menjadikan keseluruhan yang dipulangkan kira-kira AS$1.2 bilion (RM5 bilion).

Kenyataan media DoJ memetik dokumen mahkamah berkata dana 1MDB, sebelum ini dikenali sebagai ‘Dana pembangunan pelaburan Malaysia’ telah digubah menerusi beberapa institusi kewangan utama seluruh dunia termasuk AS, Switzerland, Singapura dan Luxembourg.

Bermula 2016, usaha yang merangkumi 41 tindakan rampasan sivil difailkan di Mahkamah Daerah California dan satu di Mahkamah Daerah Columbia oleh Seksyen Pengubahan Wang dan Pemerolehan Aset (MLARS) Bahagian Jenayah DoJ yang membawa kepada penyitaan aset dicuri bernilai lebih AS$1.7 bilion (RM7.17 bilion).

Ia adalah pemerolehan aset terbesar setakat ini di bawah Inisiatif Jabatan Pemulihan Aset Kleptokrasi. Kedua-dua dana berkenaan dilucutkan dan ia diperoleh serta dikembalikan hasil bantuan jabatan berkenaan.

DoJ akan terus mengambil tindakan ke atas aset tambahan yang ada kaitan dengan penyelewengan itu, kata DoJ.

Sebagaimana dinyatakan dalam aduan dakwaan rampasan sivil, sejak 2009 hingga 2015, lebih AS$4.5 bilion (RM18.98 bilion) dana milik 1MDB didakwa telah disalahguna oleh pegawai tertinggi 1MDB, rakan subahat dan Low Teak Jho atau Jho Low menerusi aktiviti jenayah membabitkan pengubahan wang haram dan penyelewengan dana antarabangsa.

DoJ berkata sebahagian hasil penyelewengan itu juga didakwa digunakan untuk memberi rasuah.

1MDB diwujudkan oleh kerajaan Malaysia bagi mempromosikan pembangunan ekonomi di negara ini menerusi usaha sama global dan pelaburan langsung asing. Dana berdaulat itu dibangunkan untuk digunakan bagi meningkatkan kesejahteraan rakyat Malaysia.

Bagaimanapun, dana yang dipegang 1MDB dan hasil bon yang dikeluarkan untuk/dan bagi pihak 1MDB dibelanjakan untuk pelbagai jenis barang mewah, termasuk rumah dan harta tanah mewah di Beverly Hills, New York, dan London; kapal layar mewah; seni halus oleh Monet dan Van Gogh.

Dana berkenaan turut digunakan untuk pelbagai tujuan pelaburan termasuk hotel butik di Beverly Hills, syarikat produksi filem yang menghasil ‘The Wolf of Wall Street’, selain aktiviti penyelewengan berterusan membabitkan pembangunan semula Park Lane Hotel di Manhattan, saham dalam EMI iaitu pemegang hak muzik terbesar.

Seperti didakwa, dana lain juga diberikan kepada pelbagai pegawai awam dan rakan konspirasi.

Untuk rekod, pada 3 Ogos 2020 Datuk Seri Najib Razak dihadapkan ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur atas empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh rasuah berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan amaun sama.

Terdahulu, pada penghujung Julai 2020 bekas Perdana Menteri dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta kerana didapati bersalah atas tujuh pertuduhan membabitkan penyelewengan RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd.

BERITA BERKAIT
POPULAR