Doa senjata rohani perangi Covid-19, tawakal selepas berusaha: PM

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Forum Perdana Hal Ehwal Islam & Malaysia Berzikir Bersama YAB Perdana Menteri secara maya malam ini.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin malam ini mengingatkan bahawa Islam menganjurkan umatnya supaya bersabar, reda dan tidak putus asa dalam usaha memerangi pandemik Covid-19 yang melanda sekarang.

Sambil menggalakkan terus berdoa – yang menjadi senjata rohani umat Islam – Perdana Menteri berkata sebagai insan beriman semua pihak mesti mempercayai bahawa pandemik ini adalah ujian daripada Allah SWT.

Beliau berkata demikian ketika menyertai ‘Forum Perdana Hal Ehwal Islam & Malaysia Berzikir Bersama YAB Perdana Menteri’ secara maya malam ini.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri dan Timbalannya, Datuk Ahmad Marzuk Shaary; serta Ketua Pengarah Jakim, Datuk Abdul Aziz Jusoh.

Perdana Menteri juga berkata amalan berzikir mengingati Allah sangat dituntut bukan sahaja untuk mengukuhkan aspek kerohanian, tetapi seiring sikap bertawakal kepada-Nya setelah melaksanakan pelbagai ikhtiar dalam mendepani ujian pandemik Covid-19 ketika ini.

Sebagai insan beriman kita harus meyakini wabak itu adalah ujian Allah kepada manusia, maka apa yang dianjurkan Islam ialah agar bersabar dan reda dan tidak berputus asa dalam mencari ikhtiar penyelesaian menamatkan pandemik ini, katanya.

Oleh itu katanya, sebagai manusia biasa harus berusaha untuk terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) serta memastikan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) yang sedang rancak berjalan di seluruh negara juga dapat menjadi ikhtiar melindungi rakyat daripada ancaman wabak.

“Kesungguhan yang ditunjukkan petugas barisan hadapan dan dibantu pelbagi pihak, penjawat awam, NGO, pihak swasta pasukan keselamatan mahu pun orang perseorangan dalam menyalurkan segala bentuk bantuan kepada mereka yang memerlukan merupakan bukti perpaduan utuh meskipun dalam keadaan sukar ini.

“Saya doakan semangat kerjasama dan perpaduan ini dapat dipertingkatkan. Saya doakan Allah mengurniakan ketenangan dalam kehidupan seharian agar kita dapat sama-sama keluar daripada krisis akibat wabak Covid-19 dengan segera dan dapat kembali menjalani kehidupan dengan lebih baik,” katanya.

Pada masa sama Perdana Menteri memanjat kesyukuran kepada Allah atas limpah kurnia dapat bersama mengikuti majlis berkenaan yang merupakan kesempatan berharga untuk sama-sama bermuhasabah atas ujian pandemik Covid-19 yang sedang melanda negara.

“Kita bermunajat dan memohon kepada Allah agar beroleh pengampunan, kekuatan dan kesabaran dalam melalui hari-hari mencabar,” katanya.

Alunan zikir itu dipimpin Imam Besar Masjid Putra, Putrajaya, Ikmal Zaidi Hashim bersama tiga lagi imam besar masjid utama negara.

Program anjuran Jakim itu adalah sebagai kesinambungan usaha dan ikhtiar Malaysia dalam menghadapi pandemik Covid-19 di negara ini.

Sejurus selepas program tersebut, Perdana Menteri turut menyertai rancangan Forum Perdana Ehwal Islam bertajuk Menginsafi Hikmah dengan perbincangan bersama panel-panel yang diundangi iaitu Pakar Motivasi, Datuk Dr Mohd Fadhilah Kamsah; Pensyarah Universiti Malaya, Prof Madya Dr Sharifah Hayaati Syed Ismail dan pendakwah, Muhammad Ashraf Ridzuan.

POPULAR