
Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor akan menyerahkan segala dokumen berkaitan kenyataannya berhubung isu Pulau Pinang milik Kedah kepada polis.
Beliau yang sedia disiasat berkata, penyiasatan atas sesuatu isu merupakan perkara biasa sahaja.
“Biasalah siasat di dunia, siasat di akhirat lagi teruk,” katanya ketika ditemui di Wisma Darul Aman di Alor Setar lapor Sinar Harian, hari ini.
Ketua Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) itu juga secara berseloroh sempat memberitahu ada membawa dokumen berkaitan kes tersebut dalam beg bimbitnya.
“Siasat di dunia ini biasa saja, apa yang saya boleh dedahkan, saya dedahkan. Dokumen ada dalam satu beg saya bawa. Nanti saya fotostat bagi seorang satu salinan. Lawaklah dunia ini,” katanya.
Dalam pada itu, Muhammad Sanusi memaklumkan rakaman berkaitan kenyataannya kemungkinan akan dilakukan pada sebelah petang Rabu di Pejabat Menteri Besar, Wisma Darul Aman.
“Bukit Aman (polis) datang jumpa, itu biasalah, mereka buat kerja mereka, saya buat kerja saya, adillah,” katanya.
Namun katanya beliau tidak pasti waktu sebenar rakaman keterangan akan dibuat berikutan perlu mempengerusikan mesyuarat exco terlebih dahulu.
“Saya tak tahu polis nak datang jam berapa, saya perlu hadiri mesyuarat exco dulu. Mungkin selepas itu akan dibuat rakaman,” katanya.
Pada Selasa, Setiausaha PDRM, Datuk Noorsiah Saaduddin memaklumkan polis akan merakam keterangan Muhammad Sanusi pada Rabu di Alor Setar berhubung kenyataannya mendakwa Pulau Pinang milik Kedah.
Rakaman kenyataan itu akan dibuat di Pejabat Menteri Besar, Wisma Darul Aman oleh pegawai penyiasat Bukit Aman.