Dilema ibu bapa, pengasuh dan keselamatan bayi

Ibu bapa yang berkerjaya juga mahukan yang terbaik buat anak-anak sama seperti ibu bapa lain. Antara pilihan yang mereka ada hanyalah dengan menghantar anak-anak ke pusat jagaan atau taska selain daripada membayar pengasuh atau pembantu rumah. Kekangan kewangan keluarga juga mungkin menjadi dilema pada ibu bapa jika salah seorang perlu berhenti kerja demi menjaga anak kecil di rumah.

Menghantar anak ke pusat jagaan, taska mahupun pengasuh pastinya perlu diberi perhatian yang serius. Ini kerana mereka akan ditinggalkan hampir seharian di sana. Pelbagai faktor utama perlu dititikberatkan antaranya faktor keselamatan, penjagaan, asuhan serta kebersihan.

Pun begitu, tidak semua ibu atau bapa mampu untuk berhenti kerja dan menjaga anak sepenuhnya di rumah walaupun ianya mungkin pilihan terbaik. Ini kerana pekerjaan merupakan sumber rezeki mereka, ianya penting bagi menampung perbelanjaan keperluan keluarga.

Menurut Pakar Kanak-Kanak Hospital Pakar KPJ Johor Dr. Mohd Khaidir Mat Aris, perubahan anak sewaktu di hantar ke pusat jagaan atau pengasuh antara pengukur anak ditempatkan di tangan orang yang selamat atau tidak.

Katanya ibu bapa perlu peka mengesan perubahan fizikal dan emosi anak selepas menghantar mereka ke taska atau pengasuh.

“Bayi yang masih kecil belum mampu menceritakan apa-apa yang berlaku. Tetapi ia boleh dikesan menerusi perubahan emosi ditunjukkan oleh bayi atau anak kecil.

“Antaranya mungkin anak tidak menunjukkan rasa atau reaksi gembira, tidak senyum malahan menangis ketika disambut oleh pengasuhnya,” katanya.

Pada peringkat awal anak beremosi mungkin sebab tidak biasa dengan pengasuh tetapi kalau hampir setiap hari, pasti ada sebab tertentu yang menyebabkan si kecil kerap menangis.

“Kalau ia berlarutan, ibu bapa perlu bertindak segera dan cari puncanya agar tiada sebarang perkara buruk berlaku pada masa hadapan,” katanya.

Selain perubahan emosi, perubahan fizikal antaranya ketara yang boleh dikesan. Ia dapat dilihat oleh mata kasar seperti kesan lebam, benjolan mahupun luka di bahagian badan anak anda.

“Pengasuh dipilih haruslah yang menitikberatkan soal keselamatan kanak-kanak. Mereka perlu menyediakan persekitaran selamat daripada sebarang kemungkinan berlakunya kemalangan,” ujarnya.

Jika anak-anak kelihatan seperti kotor dan tidak terurus, ini juga merupakan perubahan fizikal yang ketara bagi menunjukkan pengasuhnya mengabaikan perkara asas seperti aspek kebersihan.
“Bayi yang menangis sebenarnya ingin memberikan mesej tertentu kepada ibu bapa atau orang yang menjaganya.

“Mereka tidak dapat melakukan apa-apa untuk diri mereka sendiri. Kerana itu mereka bergantung kepada orang lain dengan cara menangis. Antara punca yang menyebabkan bayi menangis ialah mereka lapar, tidak selesa, perlukan kehangatan, perlu dipeluk, perlu rehat, ataupun tidak sihat.

“Selain tangisan tidak sihat, bayi anda juga mungkin menangis kerana tidak selesa. Tangisan bayi yang tidak selesa adalah seperti jeritan,” katanya.

Tambah beliau, bayi juga mempunyai stranger anxiety apabila mereka takutkan individu yang mereka tidak kenali. Pun begitu, keadaan ini normal bagi anak kecil yang berusia antara tujuh bulan ke atas.

Mempunyai separation anxiety iaitu takut untuk berpisah dengan ibu bapa. Ia juga normal seperti stranger anxiety.

“Namun, sekiranya separation anxiety berlaku berpanjangan atau secara tiba-tiba setelah anak anda selesa di tempat itu, ada kemungkinan ada perkara lain atau di luar kebiasaan yang berlaku.
“Penderaan atau pembulian juga boleh menyebabkan anak anda mengalami separation anxiety yang berterusan,” jelasnya.

Nasihat beliau, ibu bapa lebih mengenali bayi sendiri, jika merasakan ada sesuatu yang tidak kena, hubungilah doktor untuk pemeriksaan lanjut.

BERITA BERKAIT
POPULAR