Dilema ibu bapa kini, berhenti kerja atau hantar pengasuh?

Sebaik sahaja kerajaan mengumumkan Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN) di beberapa buah negeri, maka  bermulalah fasa baharu ibu bapa yang bekerja dan kebanyakan mula bekerja di pejabat tetapi pastinya ibu bapa mempunyai dilema terutama apabila melibatkan keselamatan anak-anak.

Isu menghantar anak-anak ke taska, pengasuh atau berhenti kerja demi menjaga mereka bakal membelenggu mereka. Ibu bapa yang bekerjaya juga mahukan yang terbaik buat anak-anak sama seperti ibu bapa lain.

Antara pilihan yang mereka ada hanyalah dengan menghantar anak-anak ke pusat jagaan atau taska selain daripada membayar pengasuh atau pembantu rumah. Kekangan kewangan keluarga juga mungkin menjadi dilema pada ibu bapa jika salah seorang perlu berhenti kerja demi menjaga anak kecil di rumah.

Namun begitu, setiap pilihan yang dibuat oleh ibu bapa pastilah dinilai sebaiknya dan ia pasti mempunyai kebaikan dan keburukan yang tersendiri.

Dalam konteks ini, Pakar Kanak-Kanak Hospital Pakar KPJ Johor, Dr. Mohd Khaidir Mat Aris berkongsi perubahan bayi yang boleh ibu bapa kenal pasti selepas menghantar anak ke taska atau pengasuh.

Terdapat beberapa perubahan bayi yang boleh ibu bapa kenal pasti selepas menghantar anak ke taska atau pengasuh dari segi emosi dan fizikal. Bayi yang masih kecil sudah semestinya belum mampu untuk menceritakan apa-apa yang berlaku. Oleh itu, ibu bapa perlulah lebih peka kepada sebarang perubahan yang ditunjukkan oleh bayi atau anak kecil.

“Antara perubahan emosi yang jelas ialah apabila anak tidak menunjukkan rasa atau reaksi gembira apabila anda hendak menghantarnya ke taska atau pengasuh seperti anak anda tidak senyum malahan menangis ketika disambut oleh pengasuhnya. Namun begitu, hal ini juga mungkin berlaku kerana anak anda masih belum mempunyai keserasian dengan pengasuhnya,” jelasnya.

Jika perkara ini berlarutan, anda perlulah bertindak segera dan cari puncanya agar tiada sebarang perkara buruk berlaku pada masa hadapan.

Selain daripada perubahan emosi, perubahan fizikal adalah lebih ketara. Ianya dapat dilihat oleh mata kasar seperti kesan lebam, benjolan mahupun luka di bahagian badan anak anda. Anda perlu tahu bahawa pengasuh mestilah menitikberatkan soal keselamatan anak anda dan juga harus menyediakan persekitaran yang selamat daripada sebarang kemungkinan berlakunya kemalangan.

Di samping itu, jika anak anda kelihatan seperti kotor dan tidak terurus, ini juga merupakan perubahan fizikal yang ketara bagi menunjukkan bahawa pengasuhnya mengabaikan perkara asas seperti aspek kebersihan.

Tambah beliau, sebelum menghantar anak untuk dijaga oleh orang lain, ada beberapa persiapan yang perlu ibu bapa lakukan untuk memastikan anak betul-betul selesa.

“Antara persiapan yang perlu dilakukan ibu bapa terhadap anak ialah memberitahu atau bercerita kepada anak berkaitan taska atau pengasuh yang bakal menjaga mereka. Pastikan anda membuat persediaan emosi secukupnya bagi anak-anak anda.

“Selain itu, anda juga boleh membawa anak anda untuk berjumpa dengan pengasuh yang bakal menjaganya sebelum anda menghantarnya secara tetap di tempat itu,” katanya.

Dr. Mohd Khaidir juga menasihatkan ibu bapa  memastikan anak anda berada dalam keadaan kesihatan yang baik. Jika anak anda tidak sihat, kemungkinan untuk mereka berasa tidak selesa dengan pengasuhnya adalah lebih tinggi. Anak semestinya menginginkan jagaan dan belaian daripada ibu dan bapa sendiri terutama di saat mereka kurang bermaya atau sihat.

“Anda juga boleh cuba untuk bekalkan barangan seperti selimut, bantal ataupun permainan yang mereka suka. Ini dapat membantu mereka untuk berasa lebih selesa di tempat baru,” katanya.

Bagi bayi yang dilahirkan dalam situasi pandemik Covid-19, mereka kemungkinan mempunyai ‘stranger anxiety’ iaitu mereka takutkan individu yang mereka tidak kenali.

“Situasi ini  normal bagi anak kecil yang berusia antara tujuh bulan ke atas. Selain itu, mereka juga mempunyai ‘separation anxiety’ iaitu takut untuk berpisah dengan ibu bapa. Ia juga normal seperti ‘stranger anxiety’.

“Namun, sekiranya ‘separation anxiety’ ini berlaku secara berpanjangan atau secara tiba tiba setelah anak anda selesa di tempat itu, ada kemungkinan bahawa ada perkara lain atau di luar kebiasaan yang berlaku. Penderaan atau pembulian juga boleh menyebabkan anak anda mengalami ‘separation anxiety’ yang berterusan,” jelasnya.

Ibu bapa lebih mengenali anak mereka, jika merasakan bahawa ada sesuatu yang tidak kena, hubungilah doktor anda untuk pemeriksaan lanjut.

BERITA BERKAIT
POPULAR