Diet kanak-kanak melawan Covid-19

Umum mengetahui kumpulan kanak-kanak yang berisiko tinggi untuk mengalami jangkitan Covid-19 yang serius adalah golongan pesakit kanak-kanak yang mempunyai penyakit paru-paru kronik, penyakit jantung, lemah sistem imun badan, kencing manis, sedang menjalani rawatan menggunakan steroid (seperti pesakit autoimun dan transplan), kanser, asma dan obesiti.

Memandangkan kanak-kanak kini merupakan golongan yang berisiko tinggi untuk dijangkiti Covid-19, beliau berkata antara kaedah utama bagi mengurangkan risiko berkenaan adalah dengan kawalan kendiri dan vaksinasi.

Selain itu, pemakanan sihat dalam kalangan kanak-kanak boleh menjadi imunisasi semula jadi dalam badan terutama selepas jangkitan Covid-19.

Menurut Pakar Pemakanan Klinikal Hospital Pakat KPJ Tawakkal, Lee Shin Jie, tips pemakanan selepas sembuh daripada jangkitan Covid-19 memerlukan tabiat diet yang tetap.

“Ini termasuk pengambilan makanan yang sederhana mengikut tiga  waktu makan utama yang tetap, iaitu sarapan pagi, makan tengah hari dan makan malam untuk memastikan kita mendapat kembali makronutrien dan mikronutrien yang diperlukan bagi proses pemulihan.

“Pengambilan diet yang seimbang dalam kalangan kanak-kanak perlu berdasarkan piramid makanan dan Pinggan Sihat Malaysia. Ini  boleh menjadi panduan yang sesuai untuk hidangan utama supaya pengambilan terutamanya protein, vitamin, mineral dan serat yang cukup bagi memulihkan sistem pertahanan badan kepada tahap yang optimum,” katanya.

Tambah Shin Jie, selain vaksin, tiada jalan pintas atau makanan tertentu yang akan meningkatkan imun atau sistem pertahanan badan.

Ini kerana pengambilan makanan sihat dan seimbang adalah kunci utama dalam mendapatkan segala nutrisi yang badan kita perlukan untuk memastikan sistem pertahanan badan berfungsi secara optimal.

“Jadi, pastikan kita mengamalkan pemakanan yang sihat dan seimbang sepanjang hari. Ini termasuk makan sekurang-kurang lima hidangan buah-buahan dan sayur-sayuran yang pelbagai. Ibu bapa juga boleh pilih makanan yang mengandungi bijirin penuh seperti roti, nasi dan pasta sebagai sumber karbohidrat.

“Tidak ketinggalan, berikan anak-anak pilihan kekacang, ikan, telur dan daging tanpa lemak sebagai sumber protein. Kanak-kanak juga memerlukan dua hidangan susu atau produk tenusu kurang lemak (termasuk produk soya) setiap hari,” jelasnya.

Bagi melengkapkan diet sihat, beliau menyarankan, hadkan pengambilan garam dan gula tambahan, minum air kosong yang mencukupi sekurang-kurangnya enam hingga lapan gelas sehari.

Berkongsi kepentingan air kosong, Shin Jie memberitahu sebahagian besar, kira-kiranya 60 peratus tubuh manusia terdiri daripada air dan sebab itulah air penting untuk memastikan tubuh berfungsi pada tahap yang optimal.

“Cara pemakanan yang sesuai semasa jangkitan Covid-19 kekal sama seperti individu yang tidak dijangkiti, iaitu pemakanan sihat yang seimbang dan pelbagai mengikut Piramid Makanan Malaysia dan Pinggan Sihat Malaysia.  Walaubagaimanapun, ada sesetengah individu yang mempunyai gejala seperti kesesakan bernafas, hilang selera makan, hilang deria dan rasa memerlukan pemakanan khusus. Contohnya protein dan antioksidan memainkan peranan yang penting dalam menyokong sistem pertahanan badan terutamanya semasa pandemik ini.

“ Kebanyakan antioksidan dalam makanan boleh didapati dalam buah-buahan dan sayur-sayuran. Tumpukan kepada pengambilan buah-buahan dan sayur-sayuran yang berwarna-warni daripada hanya pilih satu buah atau sayur untuk dimakan sepanjang minggu. Manakala protein adalah seperti ikan, ayam, tahu, telur, kacang dan daging tanpa lemak. Tiada satu makanan atau vitamin yang boleh meningkatkan sistem pertahanan badan kita, walaupun ianya Vitamin C yang diuar-uarkan di pasaran. Pengambilan makanan yang seimbang dan pelbagai lebih penting untuk menyokong sistem pertahanan badan kita,” ujarnya,

Dalam pada itu, kanak-kanak juga memerlukan sekurang-kurangnya 1000 kalori sehari untuk tumbesaran dan sebagai tenaga mereka. Cara yang terbaik untuk memastikan anak-anak mendapat keperluan kalori seharian mereka ialah dengan menghidangkan tiga sajian dan dua snek sehari.

“Kalori adalah unit digunakan sebagai tenaga yang dihasilkan oleh badan semasa proses pencernaan atau penghadaman makanan atau minuman. Setiap makanan dan minuman yang diambil mengandungi kalori.

“Kalori ini diperlukan oleh tubuh untuk pelbagai aktiviti harian seperti pengekalan suhu badan, aktiviti metabolisma, proses pertumbuhan, aktiviti fizikal, makan mengikut keperluan kalori bermaksud makan mengikut kehendak tubuh untuk melakukan aktiviti seharian secara optimal. Jadi, pastikan pengambilan kalori yang seimbang dengan tahap aktiviti fizikal untuk memastikan tubuh berfungsi dalam kadar optimal,” katanya.

BERITA BERKAIT
POPULAR