
Kampung Baru terletak di tengah-tengah bandar Kuala Lumpur.
Pampasan yang terlalu rendah dan tidak seperti yang dijanjikan kerajaan sebelum ini mengecewakan penduduk Sungai Baru di Kampung Baru yang terasa seperti ditipu hidup-hidup.
Lebih mengecewakan, penduduk flat di Kampung Baru itu kini pula diberikan notis mengosongkan rumah daripada Jabatan Tanah dan Galian (JTG) pada 1 April lalu dan lebih malang lagi ia berlaku pada bulan Ramadan.
Arahan pengosongan itu dibuat menerusi Borang K yang bertarikh 22 Mac dan diterima penduduk pada 1 April lalu.

Notis penggosongan penduduk Kg Sungai Baru di Kampung Baru.
“Tuan adalah diminta mengosongkan premis bangunan di kawasan pengambilan terlibat setelah penerimaan notis Borang K ini bagi mengelakkan tuan diambil tindakan di bawah Seksyen 425 Kanun Tanah Negara 1965.
“Pihak pentadbir juga tidak bertanggungjawab ke atas sebarang kerosakan harta benda milik tuan di atas tindakan ini,” kata notis itu.
Penduduk yang menerima Borang K sudah mendapat pampasan RM240,000 hingga RM260,000.
Namun, difahamkan 30% penduduk tidak bersetuju dengan pampasan yang ditawarkan, iaitu RM240,000 hingga RM260,000 bagi unit flat dan kira-kira RM400 sekaki persegi bagi kategori rumah teres berbanding anggaran jurunilai dilantik sebanyak RM1,500 sekaki persegi untuk tanah sahaja, tidak termasuk bangunan.
Perancangan pembangunan di Kampung Sungai Baru melibatkan penduduk yang menetap di dua jenis kediaman, iaitu flat Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) dan rumah di tanah persendirian, termasuk rumah teres.
Pembangunan semula yang dirancang itu akan membabitkan 328 unit rumah, dengan 264 daripadanya adalah flat dan selebihnya rumah teres yang dianggarkan berkeluasan 6.8 hektar.
Pada Julai 2021, penduduk di Kampung Sungai Baru menerima surat Warta Seksyen 8 Akta Pengambilan Tanah 1960 yang memaksa mereka keluar dari tanah itu dengan pampasan.
“Dahulu janji nak beri pampasan setimpal, tapi dengan jumlah tersebut adakah ia setimpal? Janji kerajaan apa ini?” kata seorang penduduk disitu.
Kampung Sungai Baru melibatkan penduduk yang menetap di dua jenis kediaman iaitu Flat Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) dan rumah di tanah persendirian.
Ketika pentadbiran kerajaan PH mentadbir, Menteri Wilayah Persekutuan ketika itu, Khalid Abdul Samad membuat tawaran RM850 + 150 sekaki persegi kepada penduduk Kampung Baru untuk membeli tanah mereka.
Beliau berjaya mendapat persetujuan sehingga 63 peratus penduduk cadangan pembelian oleh kerajaan ini.
Ketika itu, pembangkang termasuk Ketua Pembangkang Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kerajaan tidak boleh menggunakan Akta Pengambilan Tanah untuk membangunkan Kampung Baru kecuali untuk membina kemudahan orang ramai seperti hospital.