
Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata Datuk Seri Najib Razak bukannya hakim untuk mempertikaikan kebenaran kenyataan penafian beliau (Muhyiddin) menerima wang syarikat Ultra Kirana Sdn Bhd.
“Dia bukan hakim… elok dia manage dia punya problem lah… saya dah selesai buat satu kenyataan (penafian) dan saya tak nak tokok lagi,” katanya pada sidang media selepas program #RuangBelia di Institut Masa Depan Malaysia di ibu negara, hari ini.
Beliau yang juga bekas Perdana Menteri mengulangi kenyataan bahawa pada tarikh yang dinyatakan oleh saksi dalam perbicaraan kes rasuah Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi itu, beliau menjalani rawatan dan bercuti.
“Saya tidak mahu membahas lagi… saya pun sudah buat kenyataan yang agak jelas… dan ada orang buat report polis… biar polis siasat.
“Kalau Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) nak panggil saya pun boleh panggil… saya tak takut… kerana saya cakap yang benar,” katanya menjelaskan bahawa polis atau SPRM tidak menghubunginya lagi.
Mengulas lanjut Muhyiddin berkata beliau tidak peduli dengan ulasan dibuat oleh pihak tertentu, sebaliknya yang penting ialah beliau tidak menerima rasuah.
“Saya cakap benar… saya tak pernah bohong… saya tak terima apa-apa. Tapi kalau orang lain kata itu… itu hak dia.
“Dan kalau nak disahkan benar atau tidak… saya dah bagi tahu… saya bersedia untuk disiasat,” katanya diminta mengulas kenyataan Najib berhubung isu itu.
Najib sebelum ini tidak berani mencabar beberapa pemimpin UMNO lain yang dipetik dalam perbicaraan kes rasuah dihadapi rakannya, Zahid, yang dikatakan menerima wang UKSB, sebaliknya dilihat menyindir penafian Muhyiddin.
Bekas Perdana Menteri yang didedahkan saksi menerima ratusan juta dalam akaun peribadinya sebelum ini semasa perbicaraan 1Malaysia Developmen Berhad (1MDB) sehingga hari ini mengunci mulut daripada mencabar pemimpin UMNO seperti Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein yang turut disebut menerima wang UKSB.
Najib hanya memuat naik artikel laporan berhubung dakwaan kononnya Muhyiddin menerima wang daripada UKSB, bagaimanapun suami kepada Datin Seri Rosmah Mansor itu terlupa beberapa nama pemimpin UMNO lain juga dipetik dalam pernyataan saksi kes Zahid tersebut.