Di Johor, Najib buktikan dirinya ‘pakar kencing’ rakyat walaupun sudah dihukum

Walaupun sudah dijatuh hukuman dan sedang berdepan puluhan pertuduhan jenayah di mahkamah, Datuk Seri Najib Razak bijak memanipulasi dan menipu rakyat dengan cerita ‘kencing’ yang secara terang-terangan cuba membodohkan rakyat.

Bekas Perdana Menteri (PM) itu ke hulu ke hilir berkempen di Johor dengan naratif baharunya kononnya hutang 1Malaysia Development Berhad (1MDB) tidak dibayar rakyat, seolah-olah semua jenayah dan salahguna rasuah dilakukannya itu tidak bersalah dan lebih malang lagi berbangga dengan rasuah dilakukannya.

Najib secara terang menipu dengan mengalihkan isu kononnya wang 1MDB tersebut bukan duit rakyat tetapi sebaliknya adalah Goldman Sachs, walhal faktanya duit rakyat digunakan untuk membayar hutang yang dicipta oleh Najib bersama-sama rakannya, Jho Low.

“Itu bukan duit rakyat, duit Goldman Sachs duit rakyat ke? Di mana yang boleh dikatakan duit rakyat? Goldman Sachs duit Goldman Sachs lah, mana (pula) duit rakyat. Mengarut lah!,” kata Najib dipetik semasa berkempen di Pagoh baru-baru ini.

Selain berkempen untuk memenangkan Barisan Nasional (BN), Najib nampaknya cuba menyucikan dirinya yang sudah didapati bersalah dalam kes dana SRC International Sdn Bhd di dua peringkat mahkamah, Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan.

Hujah Najib untuk mengelirukan pengundi Johor adalah dengan mengatakan prinsipal hutang itu dibuat menggunakan dana Goldman Sachs, tetapi faktanya hutang tersebut adalah dijamin oleh kerajaan Malaysia yang sehingga hari ini terpaksa membayarnya.

Semasa di Dewan Rakyat baru-baru ini, Najib cuba ‘kencing’ Ahli Parlimen tetapi sebaliknya menerima tentangan dan kritikan yang kuat sehingga tidak memberi laluan kepada Ahli-ahli Parlimen lain untuk menyoalnya semasa sesi perbahasan.

Najib nampaknya cuba menggunakan taktik kencing di Johor kerana beranggapan pengundi mudah ditipu dengan cerita dongengnya yang penuh penipuan dan manipulasi.

Membalas hujah Najib, Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Muhyiddin Yassin membidasnya sebagai seorang penipu dan bakal diambil tindakan di Dewan Rakyat ekoran kenyataannya yang mengelirukan dewan.

“Najib mengatakan bahawa walaupun ada isu 1MDB tapi rakyat tak bayar hutang yang ditanggung oleh 1MDB itu.

“Ia satu pembohongan, Speaker Dewan Rakyat telah pun meminta dia (Najib) memberikan penjelasan dalam sehari dua kalau dia tak beri penjelasan yang betul maka Parlimen akan mengambil tindakan dari sudut peraturan-peraturan yang ada di peringkat parlimen,” katanya semasa ceramah Pentas Anak Muda di Pagoh malam tadi.

Untuk rekod, Najib kini sedang dibicarakan atas empat pertuduhan menggunakan kedudukannya ketika itu untuk mendapatkan suapan berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama.

Najib juga sedang dibicarakan bersama-sama bekas CEO 1MDB, Arul Kanda Kandasany, atas dakwaan menggunakan kedudukannya ketika itu untuk mengarahkan pindaan dilakukan terhadap laporan akhir audit 1MDB sebelum dibentangkan kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) bagi mengelakkan sebarang tindakan diambil terhadap beliau.

BERITA BERKAIT
POPULAR