Dewan Rakyat beri tempoh hingga Selasa kepada Najib beri penjelasan

Dewan Rakyat memberi masa kepada bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sehingga Selasa depan untuk memberi penjelasan kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat berhubung kenyataan Ahli Parlimen Pekan itu ketika perbahasan minggu lepas yang dikata mengelirukan dewan.

Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Azhar Azizan Harun berkata beliau menerima surat daripada Najib memohon pelanjutan tempoh bagi memberikan penjelasan secara bertulis mengenai perkara itu, lapor Bernama.

“Saya telah menulis surat kepada kedua-dua Yang Berhormat (Pekan dan Menteri Kewangan), meminta penjelasan selewat-lewatnya hari ini. Semalam selepas saya mempengerusikan mesyuarat, saya menerima surat daripada Yang Berhormat Pekan meminta pelanjutan masa sehingga Rabu depan untuk memberi penjelasan.

“Saya benarkan permohonan itu sehingga Selasa pagi minggu depan, jadi tidak timbul Yang Berhormat Pekan mengingkari arahan saya,” katanya.

Azhar menjelaskan perkara itu apabila Tony Pua (PH-Damansara) membangkitkan Peraturan Mesyuarat 43 dan 44(2) atas keputusan Yang Dipertua Dewan meminta penjelasan daripada Najib berikutan usul Pua yang mahu Najib dirujuk kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen di bawah Peraturan Mesyuarat 36 (12) Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat.

Pua menghantar usul itu berikutan ucapan Najib dalam Dewan Rakyat pada 2 Mac dikatakan mengandungi kenyataan-kenyataan yang mengelirukan dewan berkaitan isu hutang 1MDB dan boleh disifat sebagai menghina Majlis.

Peraturan Mesyuarat 43 menyatakan Yang Dipertua dalam Majlis Mesyuarat atau Pengerusi dalam Jawatankuasa adalah bertanggungjawab menjaga supaya peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat atau Jawatankuasa diendahkan, dan keputusannya berkenaan dengan apa-apa perkara peraturan mesyuarat tidak boleh diminta timbangkan semula dan tidak boleh diulangkaji oleh Majlis Mesyuarat kecuali dengan dikeluarkan usul bersendiri kerana itu.

Peraturan Mesyuarat 44 (2) memperuntukkan Pengerusi hendaklah memerintah mana-mana ahli yang berkelakuan tidak senonoh atau melakukan perbuatan yang menghina Majlis Mesyuarat atau terus tidak mengendahkan kuasa Pengerusi keluar dari Majlis Mesyuarat bagi tempoh tidak melebihi 10 hari dan ahli tersebut hendaklah dengan serta-merta keluar dari Majlis Mesyuarat.

Azhar berkata amalan meminta penjelasan secara bertulis daripada Ahli Parlimen adalah amalan beliau dari hari pertama sebagai Yang Dipertua bagi mempertimbangkan suatu usul atau perbahasan sama ada untuk membenar atau menolak usul itu, dan amalan itu tidak terdapat dalam Peraturan Mesyuarat.

“Sebelum saya benarkan usul itu, dan usul tersebut selalunya melibatkan perkara-perkara fakta atau perbahasan mengenai fakta. Usul Yang Berhormat Damansara berikan kepada saya pun melibatkan fakta. Empat fakta dibangkitkan terutamanya melibatkan yang paling penting, sama ada kerajaan menggunakan wang kerajaan untuk membayar hutang prinsipal 1MDB.

“Sebab yang dikatakan Yang Berhormat Pekan ialah prinsipal jadi saya perlu melihat penjelasan perkara itu sebelum saya boleh membuat keputusan sama ada membenarkan atau menolak usul itu,” katanya.

RSN Rayer (PH-Jelutong) turut bangkit mempersoalkan tindakan Najib yang memberikan penjelasan kepada pemberita di luar Dewan Rakyat namun Azhar berpandangan perkara itu berada di luar kawalan beliau sebagai Yang Dipertua Dewan Rakyat.

BERITA BERKAIT
POPULAR