Dewan Perniagaan Melayu bidas pihak desak pengeluaran KWSP

Kerajaan digesa supaya tidak tunduk terhadap desakan individu atau parti tertentu berhubung pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) membidas pihak tidak bertanggungjawab yang menggunakan isu KWSP untuk meraih sokongan politik walhal langkah tersebut akan memberi masalah semasa persaraan pada masa depan nanti.

Presidennya, Abd. Halim Husin berkata, selain krisis bencana alam, krisis yang jauh lebih besar dan berupaya memusnahkan kehidupan setiap rakyat Malaysia ialah krisis kemiskinan pada usia persaraan memandangkan lebih 80 peratus pencarum aktif KWSP mempunyai baki simpanan kurang daripada RM10,000.

Ujarnya, membenarkan pengeluaran baki simpanan yang tidak seberapa untuk berdepan bencana banjir bukan sahaja akan menambah derita pencarum dengan baki simpanan yang terlalu sedikit apabila mereka bersama, tetapi tetap gagal merungkai masalah kewangan mereka hari ini seperti yang berlaku ketika i-Citra 1.0 dan i-Citra 2.0.

“Lebih memburukkan keadaan, pengeluaran tabung amanah simpanan seperti KWSP berkali-kali sebelum tiba waktu matangnya tentu akan memberi tekanan kepada KWSP untuk melabur secara lebih terancang, disamping menyukarkan mereka untuk menjanjikan pulangan yang lebih baik kepada pelabur.

“Dengan kenaikan kos sara hidup, kos penjagaan kesihatan serta purata usia yang semakin panjang, tabung simpanan KWSP adalah satu-satunya harapan buat bakal pesara yang mesti dijaga dan dipertahankan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Abd. Halim, bagi menangani krisis bencana alam dan pandemik Covid-19, pelbagai kaedah bantuan mesti dirancang dan dilaksanakan oleh kerajaan tanpa meletakkan beban tersebut seluruhnya kepada warganegara yang telah banyak berkorban.

DPMM berharap kerajaan akan meluluskan cadangan untuk meninggikan had bantuan pinjaman tanpa riba oleh Bank Simpanan Nasional (BSN) kepada RM25,000 bagi setiap isi rumah dan Tekun Nasional untuk menaikkan had bantuan mereka kepada RM15,000 untuk setiap peniaga yang terkesan akibat banjir.

“Bagi mendepani krisis ekonomi selepas bersara, kerajaan juga harus lebih berani untuk melaksanakan langkah-langkah yang lebih drastik seperti mewujudkan Skim Pencen Universal serta kajian semula tahap gaji nasional.

“DPMM turut mendesak kerajaan untuk menubuhkan dan menguatkuasakan program Dana Rakyat berteraskan konsep wakaf bagi membantu menyediakan modal pusingan munasabah buat usahawan yang terjejas oleh bencana dalam negara,” ujarnya.

BERITA BERKAIT
POPULAR