
Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.
Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, surat berhubung hadiah AS$100 juta daripada kerabat Diraja Arab Saudi kepada Datuk Seri Najib Razak tidak pernah didedahkan kepada Bank Negara Malaysia (BNM), lapor Sinar Harian
Bekas Gabenor BNM itu berkata bekas Pengarah Urusan Kumpulan AmBank Group, Cheah Tek Kuang juga tidak pernah menimbulkan isu derma untuk disalurkan kepada akaun bekas Ahli Parlimen Pekan itu.
Zeti, 76 berkata demikian ketika membaca pernyataan saksinya dalam prosiding kes empat pertuduhan menggunakan kedudukan untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dana 1MDB dan 21 tuduhan pengubahan wang haram melibatkan jumlah yang sama melibatkan Najib.
Beliau yang juga saksi pendakwaan ke-46 berkata, Najib tidak mengemukakan surat bertarikh 1 November 2011, 1 Mac 2013 dan 1 Jun 2014 tersebut kepada BNM.
Zati yang menjawat jawatan Gabenor BNM selama 16 tahun itu berkata pada 28 Januari 2011, Tek Kuang memaklumkan Najib (ketika itu perdana menteri) membuka akaun AmIslamic Bank Berhad dan ia akan dirujuk dalam kod untuk ‘Ringgit Operations Monitoring System’ (ROMS).
“Walaupun akaun itu dikodkan sebagai ‘AmPrivate Banking – MR’ untuk ROMS, pembukaan akaun itu adalah mematuhi peraturan yang ditetapkan.
“Ini kerana semua akaun peribadi yang dibuka oleh pemegang akaun mestilah di bawah nama pemegang akaun seperti yang dinyatakan dalam kad pengenalan dan bukan dengan nama lain,” katanya.
Gabenor wanita pertama BNM ini juga berkata, tiada sebarang perbincangan dibuat memandangkan pertemuan yang dibuat itu adalah singkat.