
Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.
Ketika negara masih belum selesai menangani Covid-19, muncul pula penularan penyakit tangan kaki dan mulut (HFM) dalam kalangan kanak-kanak, majoritinya di bawah enam tahun.
Kini, kes demam denggi di seluruh negara sejak Januari lalu pula dilaporkan meningkat 52.4 peratus menjadikan kumulatif sebanyak 16,145 kes, berbanding 10,597 kes sepanjang tahun lalu.
Selangor mencatat kes tertinggi iaitu sebanyak 270 kes menjadikan jumlah keseluruhannya adalah 920 kes pada Minggu Epidemiologi (ME) ke-20, bermula 15 hingga 21 Mei.
Pada ME ke-19 iaitu bermula 8 hingga 14 Mei, kes demam denggi yang dicatatkan di negeri itu adalah sebanyak 650 kes, lapor Kementerian Kesihatan (KKM), hari ini.
Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dalam satu kenyataan hari ini berkata sembilan kematian akibat komplikasi denggi turut dilaporkan setakat ini berbanding lima kematian bagi tempoh sama tahun lepas.
Menurutnya Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya mencatatkan 121 kes, diikuti Sabah (119), Johor (82) dan Kedah (43), masing-masing pada ME ke-20.
Beliau berkata sebanyak 41 lokaliti titik panas turut dilaporkan pada ME ke-20 dengan 36 lokaliti di Selangor, tiga di Kuala Lumpur dan Putrajaya dan masing-masing satu lokaliti di Melaka serta Sabah.
Katanya, dalam keadaan penularan jangkitan demam denggi yang tinggi ketika ini, setiap lapisan masyarakat perlu bertindak proaktif dengan memastikan persekitaran premis kediaman dan tempat kerja bebas dari tempat pembiakan nyamuk Aedes.
“Pihak berwajib dalam komuniti juga melakukan aktiviti cari dan musnah pembiakan nyamuk Aedes selain menggunakan kaedah pencegahan seperti pencegah dan semburan aerosol dalam premis untuk membunuh nyamuk dewasa,” katanya.