
Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin.
Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin bersetuju meminda empat fasal dalam Rang Undang-undang (RUU) Hasil Tembakau dan Kawalan Merokok 2022 yang dibahaskan di Dewan Rakyat hari ini (1 Ogos 2022).
Beliau berkata keputusan untuk meminda RUU digelar ‘generasi terakhir merokok’ (GEG) – dibuat selepas perbincangan dengan Jawatankuasa Pilihan Khas bipartisan mengenai Wanita, Hal Ehwal Kanak-Kanak dan Pembangunan Sosial, serta Dr Kelvin Yii (PH-Bandar Kuching) yang merupakan Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas Kesihatan, Sains dan Inovasi.
Khairy melalui Twitter petang tadi menyatakan bahawa beliau telah bersetuju untuk mengurangkan denda standard untuk generasi itu daripada RM5,000 kepada RM500.
Beliau juga berkata khidmat masyarakat akan ditambah sebagai pilihan ganti denda (seperti yang ditetapkan oleh mahkamah).
Beliau menambah bahawa tidak akan ada pemeriksaan badan bagi sesiapa di bawah umur 18 tahun dan tiada hukuman untuk pemilikan bagi semua kesalahan berkaitan.
“Dengan ini, majoriti cadangan oleh kedua-dua pihak telah dimasukkan sebagai pindaan ke dalam RUU,” katanya.
RUU Hasil Tembakau dan Kawalan Merokok 2022 mencadangkan untuk mengharamkan merokok, membeli atau memiliki rokok dan produk tembakau bagi mereka yang lahir pada tahun 2007 dan seterusnya. Larangan itu dijadualkan berkuat kuasa pada 2025.
Perbincangan mengenai potensi penyalahgunaan kuasa yang dibenarkan oleh RUU telah dibahaskan dengan hebat oleh rakyat Malaysia kerana peruntukannya membenarkan pihak berkuasa melakukan penggeledahan tanpa waran di dalam premis dan juga individu.
RUU berkenaan juga dianggap penting kerana melibatkan soal kesihatan rakyat khususnya generasi yang lahir pada 1 Januari 2007 dan seterusnya kerana ada peruntukan melarang individu membeli, merokok dan memiliki produk tembakau atau peranti merokok.
Awalnya RUU itu menetapkan mereka yang didapati bersalah boleh didenda tidak melebihi RM5,000.
Sejumlah dua juta nyawa mampu diselamatkan daripada kematian serta keilatan disebabkan penyakit berkaitan aktiviti merokok dalam tempoh sehingga 2040 sekiranya RUU tersebut berkuat kuasa.