
Program 'Jom Ziarah' mempelawa belia bukan Kristian melawat gereja anjuran Impact Malaysia - satu inisiatif di bawah kawal selia Kementerian Belia dan Sukan - telah dibatalkan.
Veteran politik, Datuk Ibrahim Ali meminta Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendedahkan identiti atau kumpulan yang cuba meniupkan sentimen kaum serta agama kerana kehilangan kuasa sebagaimana didakwanya.
Presiden Putra itu berkata, gambaran jelas wajar diberikan kerana pasukan keselamatan juga perlu digerakkan bagi menangani ancaman berkenaan.
“Kita desak perdana menteri dedahkan dengan jelas siapa yang dimaksudkan mengancam keselamatan negara kerana kemaruk atau gila kuasa,” katanya menurut laporan FMT lewat malam tadi.
Semalam, Anwar mendakwa pihak yang kehilangan kuasa pentadbiran menggunakan isu program ‘Jom Ziarah’ rumah ibadat bukan Islam, bertujuan meniup sentimen kaum dan agama.
Menurut Anwar beliau telah mengarahkan pasukan keselamatan supaya berwaspada kerana pihak yang rasa tercabar akan menggunakan sentimen ini.
“Saya sudah mengarahkan seluruh pasukan keselamatan untuk waspada kerana orang yang ‘desperate’ (terdesak) dan rasa tercabar akan menggunakan sentimen ini dan rakyat yang miskin akan diupah untuk menimbulkan apa-apa kekecauan.
“Jadi saya ingin tegaskan dan Kabinet bersama dalam hal ini, supaya keamanan dan perdamaian semua kaum dipertahankan dan tidak akan bertolak ansur sedikit pun terhadap mana-mana usaha yang menggugat keselamatan negara,” katanya menurut laporan BH.
Menyusul kenyataan itu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani pula memberi amaran akan mengambil tindakan tegas terhadap pihak mengeluarkan kenyataan menyentuh sensitiviti agama dan kaum yang boleh menjejaskan keharmonian.
Isu menyentuh sensitiviti agama itu tercetus beberapa hari lalu, apabila Impact Malaysia – satu inisiatif di bawah kawal selia Kementerian Belia dan Sukan (KBS) – menganjurkan program ‘Jom Ziarah’ yang kali ini melibatkan lawatan belia bukan Kristian ke gereja.
Iklan berkaitan program itu turut ditulis dalam bahasa Melayu dan disiarkan di media sosial. Majlis Agama Islam Selangor dalam kenyataan semalam melihat program ini mempunyai elemen untuk menarik perhatian belia “terutamanya belia Islam” untuk belajar dan menimba ilmu tentang agama selain Islam.
Program ‘Jom Ziarah’ di Church of Our Lady of Lourdes, Klang, yang dijadual hari ini dan dibatalkan itu, menjadi kontroversi apabila Pengerusi Penaja Muafakat Nasional Negeri Sembilan, Badrul Hisham Shaharin atau Che’gu Bard, mempertikaikannya.
Susulan itu, Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, membuat laporan polis menuduh Che’gu Bard memfitnahnya, sebelum Che’gu Bard membuat laporan balas polis terhadap Ahli Parlimen DAP Segambut itu.