Debat Anwar-Najib 12 Mei

Debat Perdana antara Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim dan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak akan diadakan pada 12 Mei depan.

Debat itu akan diadakan di Dewan Tunku Canselor, Universiti Malaya (UM), pada jam 9 malam.

Perkara itu diumumkan oleh Pengarah Komunikasi PKR Fahmi Fadzil dan Ketua Penerangan BN Selangor Isham Jalil pada sidang media bersama di Kuala Lumpur, hari ini.

“Debat Perdana ini akan dapat disaksikan secara langsung sama ada melalui saluran media-media yang akan diumum kemudian atau secara fizikal di Dewan Tunku Canselor atas jemputan Anwar dan Najib.

“Maklumat terperinci berhubung kehadiran fizikal akan diumum kemudian,” kata kenyataan kedua-duanya.

Secara amnya format Debat Perdana ini akan merangkumi tiga bahagian iaitu:

Pertama, berhubung permasalahan yang dihadapi syarikat minyak dan gas, Sapura Energy serta sama ada ianya perlu diselamatkan atau tidak;

Kedua, berhubung ‘Masa Depan Malaysia’ merangkumi aspek ekonomi, politik, urus tadbir serta hala tuju negara; dan

Ketiga, sesi soal jawab.

Debat Perdana ini dijangka memberi peluang kepada rakyat Malaysia untuk menilai dan meraikan idea, hujah serta pandangan yang berbeza dalam suasana aman yang mencerminkan budaya berpolitik yang lebih matang.

BERITA BERKAIT
POPULAR