Debaran azam tahun baharu, 2022

Apabila kita menyebut perkataan azam, sudah tentu kita mempunyai keinginan yang kuat untuk melakukan sesuatu.

Secara umumnya kita boleh berazam setiap hari, namun jarang melakukannya kerana menunggu hari yang bermakna atau sesuai dengan kita bagi tujuan melaksanakan azam tersebut.

Justeru, ada yang berazam membuat sesuatu semasa menyambut hari lahir, hari perkahwinan, mendapat kerja yang diinginkan, sempena hari kebesaran Islam dan paling banyak melakukan azam apabila beralih ke tahun baru.

Kebanyakan memilih di hujung tahun kerana mudah untuk membuat perkiraan kejayaan dan kegagalan diri sendiri bagi tempoh setahun.

Persoalannya sejauh mana keazaman kita sebelum ini dipenuhi dan apakah jaminan untuk mencapai azam tersebut bagi tahun yang mendatang?

Menurut Pengarah Pusat Penyelidikan dan Pembangunan Keluarga dari Jabatan Psikologi dan Pendidikan Kaunseling Universiti Malaya, Dr. Rafidah Aga Mohd. Jaladin, rasa tertekan sebelum melangkah masuk ke tahun baharu atau apa-apa yang sifatnya baharu itu sebenarnya merupakan sesuatu yang normal.

“Manusia itu sifatnya berkembang dan rasa tertekan itu merupakan satu fitrah kerana apabila memasuki fasa tahun baharu, kita cenderung mengimbas semula pencapaian-pencapaian da­lam hidup.

“Sebagai contoh, kita mula mengimbas kembali azam yang tidak tercapai dan juga rasa tertekan yang muncul akibat daripada pertambahan usia,” ujarnya.

Oleh itu, Rafidah menambah sebagai manusia, kita seharus­nya cuba untuk tidak terlalu memfokuskan kepada perkara ne­gatif seperti azam yang tidak sempat dicapai, sebaliknya melihat kembali apa antara azam-azam kecil yang mungkin sudah tercapai tanpa sedar.

Tambah beliau, rasa tekanan itu lazimnya timbul apabila kita terlalu memfokuskan kepada penyesalan atau ‘regrets’ pada tahun itu dan bukannya pencapaian atau ‘highlights’ yang berlaku dalam satu-satu tempoh.

“Sebagai contoh, mungkin azam atau harapan besar seperti mahu beli rumah pertama itu tidak tercapai, namun mungkin ada harapan kecil yang rupanya sudah pun terlaksana.

“Pendapat saya, pencapai­an itu walau sekecil mana pun masih satu kemajuan, maka ia seharusnya tetap diraikan,” kata­nya lagi.

Ingatlah, setiap pertambahan tahun bermakna kita semakin dekat menghampiri negara abadi. Cukuplah berazam untuk mengisi dunia tanpa menambah bekalan ke akhirat. Selamat tahun baru 2022.

BERITA BERKAIT
POPULAR