
Wanita bertudung dan memakai baju kurung naik ke atas pentas dan mendakwa dirinya telah menghafaz 15 juzuk al-Quran kemudian menanggalkan pakaian yang menutup aurat dan hanya meninggalkan pakaian yang kurang sopan sehingga mencolok mata.
Crackhouse Comedy Club di Taman Tun Dr Ismail, di Kuala Lumpur yang mencetuskan kontroversi setelah seorang peserta didakwa menghina Islam telah diarah tutup sementara.
Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengeluarkan arahan penutupan itu selepas klip video kejadian berkenaan tular di media sosial.
Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata tindakan itu sebagai mesej jelas bahawa pihaknya dan DBKL tidak akan sama sekali bertoleransi dengan apa jua aktiviti yang melanggar mana-mana sensitiviti melibatkan agama, bangsa dan kedaulatan negara.
“Isu ini juga turut mendapat kecaman daripada penduduk berhampiran dan netizen di media sosial yang berpendapat bahawa, video tular tersebut jelas dan terang merupakan perbuatan yang bertujuan menghina serta mencemarkan imej agama Islam.
“Justeru, sebagai Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di Kuala Lumpur, DBKL tidak akan sama sekali berkompromi dalam isu-isu sebegini.
“DBKL telah membuat siasatan lanjut terhadap lesen premis berkenaan dan tindakan menggantung sementara pengoperasian premis berkenaan telah dilakukan secara serta-merta,” katanya menurut Bernama.
Jalaluddin berkata operasi penguatkuasaan akan diteruskan dari semasa ke semasa, selain berharap orang awam melaporkan sebarang insiden bagi memastikan perkara sedemikian tidak berulang.
Video berdurasi 54 saat itu tular di media sosial dan mendapat kecaman netizen apabila seorang wanita yang bertudung dan memakai baju kurung naik ke atas pentas dan mendakwa dirinya telah menghafaz 15 juzuk al-Quran.
Dia kemudiannya menanggalkan pakaian yang menutup aurat dan hanya meninggalkan pakaian yang kurang sopan sehingga mencolok mata.
Sementara itu, premis terbabit, Crackhouse Comedy Club House dalam catatan Facebook berkata, pihaknya mengecam sekeras-kerasnya kandungan video tersebut dan telah membuat laporan polis berhubung perkara itu.
“Individu terbabit dan pasangannya diharamkan daripada premis sejurus selepas persembahan.”
Polis dan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) turut membuka kertas siasatan berhubung kejadian itu.
Siasatan dijalankan Unit Siasatan Jenayah Terkelas, Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman dan kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 298A Kanun Keseksaan iaitu atas alasan agama yang boleh menyebabkan suasana tidak harmoni, perpecahan atau permusuhan atau niat jahat memudaratkan keadaan harmoni.
Siasatan turut dibuat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi Dan Multimedia 1998 iaitu penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian.