DBKL aktifkan semula program pagi bebas kenderaan ikut SOP MKN

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengaktifkan semula Program Pagi Bebas Kenderaan Kuala Lumpur (KLCFM) yang tertangguh akibat pandemik Covid–19 bermula Ahad ini.

DBKL memaklumkan program simulasi yang akan diadakan pada November dan Disember ini akan menggunakan laluan sepanjang tujuh kilometer di sekitar ibu kota.

Jalan-jalan yang terlibat dalam program itu adalah Jalan Raja; Jalan P Ramlee; Jalan Dang Wangi; dan sebahagian Jalan Raja Laut; Jalan Sultan Ismail; Jalan Ampang; dan Jalan Tuanku Abdul Rahman.

Dalam kenyataan semalam, DBKL memaklumkan sebagai permulaan, program dwimingguan itu akan dijadikan program simulasi sesuai dengan prosedur operasi standard (SOP) baharu yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“Mereka yang ingin menyertai program ini perlu lengkap vaksin (dua dos vaksin Covid-19 dan melepasi tempoh 14 hari) dan wajib membuat prapendaftaran.

“Peraturan kesihatan dan keselamatan yang diarahkan oleh MKN akan dilaksanakan secara ketat dalam melaksanakan program ini demi keselamatan peserta.

“KLCFM adalah program yang dapat mengeratkan perpaduan kaum dalam kalangan warga kota di samping medan untuk mengamalkan gaya hidup sihat, mesra keluarga dan membudayakan penjagaan alam sekitar.

“Ia melibatkan aktiviti berjalan, berlari, meluncur atau berbasikal selama dua jam mulai 7 pagi hingga 9 pagi dan sepanjang tempoh itu, jalan-jalan yang terlibat akan ditutup kepada kenderaan awam dan persendirian,” kata DBKL lagi.

DBKL menjangkakan KLCFM akan dapat dilaksanakan secara penuh pada Januari depan dengan pelbagai acara sampingan lain dan penyertaan daripada lebih ramai penaja.

Mereka yang ingin menyertai KLCFM perlu membuat prapendaftaran terlebih dahulu menerusi laman sesawang KL Car Free Morning dan DBKL serta laman Facebook KL Car Free Morning dan DBKL yang telah dibuka sejak 2 Nov lepas.

Peserta yang berjaya mendaftar akan dimaklumkan melalui e-mel selepas tarikh pendaftaran dan untuk maklumat lanjut mengenai KLCFM, orang ramai boleh melayari www.klcarfreemorning.my.

BERITA BERKAIT
POPULAR