‘Datuk bandar’ bincang keselamatan Selatan Filipina bukan ceroboh Sabah

Perjumpaan 19 datuk bandar di Selatan Filipina baru-baru ini bertujuan membincangkan langkah menjaga keselamatan wilayah itu daripada ancaman pengganas, bukannya merancang untuk menghantar ‘tentera diraja Sulu’ menceroboh Sabah.

Namun, berita pertemuan itu telah dimanipulasi oleh pihak yang cemburu dengan ketenteraman dan keamanan dikecapi rakyat Sabah serta Malaysia amnya.

Kelmarin, akhbar berpangkalan di Hong Kong, South China Morning Post (SCMP) yang memetik sumber mendakwa satu mesyuarat rahsia melibatkan 19 datuk bandar diadakan bagi membincangkan mengenai rancangan merekrut 600 individu untuk menyerang Sabah serta menghantar pengintip.

Menurut laporan media tersebut, pertemuan itu diatur oleh pegawai kanan kerajaan tempatan di selatan Filipina.

Mesyuarat yang diadakan pada 1 Disember itu dikendalikan oleh seorang pegawai tempatan wilayah Sulu, yang mengumpulkan 19 datuk bandar Kepulauan Sulu bagi membincangkan rancangan menubuhkan “Tentera Diraja Sulu” dengan sasaran merekrut sehingga 600 anggota untuk menyerang Sabah, lapor SCMP.

Sumber itu berkata Februari 2022 dilihat sebagai waktu terbaik untuk melakukan serangan sebagai ‘memperingati’ pencerobohan ke atas Sabah lapan tahun lalu oleh pejuang Sulu, kata sumber itu.

Mengulas laporan itu, Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman, Datuk Hazani Ghazali berkata perjumpaan itu ada kaitan dengan usaha menjaga keselamatan dan rancangan mempertahankan kawasan itu daripada elemen yang menggugat keselamatan, bukan merancang plot baharu untuk menawan Sabah.

“Berita palsu berkenaan telah dimanipulasi individu tertentu yang cemburu dengan keamanan dan keselamatan dikecapi negeri ini serta Malaysia keseluruhannya.

“Maklumat itu tidak sahih, kita dapat maklumat perjumpaan itu fokus untuk keselamatan di sana bagi mempertahankan diri mereka daripada elemen pengganas, lawless elements dan sebagainya, kemudian mereka hendak menjemput lebih ramai pelabur masuk.

“Maklumat ini dimanipulasi, ini bukan perlakuan daripada negeri tapi lebih kepada individu. Walau apapun kita di pihak keselamatan sentiasa bersedia, Sabah dan seluruh Malaysia kita sentiasa bersedia, ini bumi kita tetap kita akan pertahankan,” katanya pada sidang media di Kota Kinabalu hari ini.

Terdahulu, beliau menghadiri Majlis Serah Terima Tugas Komander Eastern Command daripada Datuk Ahmad Fuad Othman kepada Hamzah Ahmad, disaksikan Ketua Menteri Datuk Hajiji Noor dan Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Idris Abdullah yang juga hadir.

BERITA BERKAIT
POPULAR