Data tengah malam Covidnow KKM salah, maklumat tidak tepat

Data laman sesawang Kementerian Kesihatan (KKM) – Covidnow – yang kononnya dikemas kini selepas tengah malam setiap hari, didapati memuatkan fakta salah berkaitan jumlah kes harian berbanding apa yang dilaporkan Jabatan Kesihatan setiap negeri.

Berdasarkan semakan Agenda Daily kira-kira jam 2 pagi tadi, angka kes harian kebanyakan negeri jauh berbeza dengan jumlah yang dilaporkan oleh Jabatan Kesihatan setiap negeri.

Bagaimanapun, KKM hanya membuat pembetulan mengenai kesilapan itu pagi ini, namun maklumatnya tetap tidak lengkap apabila jumlah kes sembuh bagi semua negeri menunjukkan angka ’0’, sedangkan berlaku pergerakan pada kumulatif kes sembuh.

KKM memperkenalkan laman sesawang Covidnow pada 9 September lalu bagi membolehkan orang ramai mendapatkan maklumat terkini dan terperinci serta telus, mengenai situasi Covid-19 di seluruh negara, yang memaparkan data lebih mudah difahami serta diakses.

Ketika memperkenalkan Covidnow, Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata beliau bersama pengurusan tertinggi KKM bersetuju untuk memastikan data dan maklumat berhubung Covid-19 dalam negara dapat diakses oleh semua pihak.

Contoh data tidak tepat disiarkan laman sesawang Covidnow kendalian KKM dengan statistik dikeluarkan Jabatan Kesihatan Negeri Kedah berhubung jumlah kes harian pada 30 Disember 2021.

Sementara itu, menerusi Covidnow yang dikemas kini pagi tadi, KKM mendakwa 34 lagi kematian disebabkan Covid-19 dicatatkan di 11 negeri, termasuk 11 kes melibatkan pesakit yang meninggal dunia sebelum sempat menerima rawatan di hospital atau kes BID.

Angka itu menjadikan kumulatif kematian sejak wabak Covid-19 melanda negara awal tahun lalu sebanyak 31,462 kes, termasuk 6,351 kes BID.

Daripada jumlah kematian itu, Perak dikatakan mencatat kes tertinggi sebanyak lapan kematian, menjadikan keseluruhannya 1,393 kes, termasuk 182 kes BID. Negeri itu juga dilaporkan mencatat 128,864 kumulatif kes positif, dengan 125,470 pesakit sembuh, dan 2,001 kes masih aktif.

Daripada jumlah kes aktif itu, 1,636 pesakit dikatakan menjalani kuarantin di rumah; 95 ditempatkan di PKRC; 254 dimasukkan ke hospital; dan 16 dirawat di unit rawatan rapi (ICU), dengan sembilan daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan.

Pada masa sama, laman Covidnow itu juga menunjukkan keseluruhannya 1,853,812 atau 73.8 peratus daripada penduduk di Perak telah lengkap divaksinasi, manakala 1,882,355 atau 74.9 peratus lagi menerima sekurang-kurangnya satu dos.

Seramai 375,729 atau 15.0 peratus lagi penduduk dikatakan menerima suntikan dos penggalak.

Sementara itu, bagi negeri-negeri lain, Covidnow turut melaporkan Sabah mencatat tujuh kematian, diikuti Johor (empat); masing-masing tiga di Kelantan, Pahang, serta Selangor; Terengganu (dua); dan masing-masing satu di Kedah, Melaka, Perlis, serta Kuala Lumpur.

Tiada kes kematian dilaporkan di Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Sarawak, Labuan dan Putrajaya.

Sejak awal tahun lalu sehingga semalam KKM menganggarkan seramai 2,754,513 penduduk Malaysia telah dijangkiti Covid-19, manakala 2,673,084 pesakit dikatakan sembuh, dan 49,967 kes lagi masih aktif.

Daripada jumlah kes aktif itu, seramai 42,828 pesakit dikatakan menjalani kuarantin di rumah; 3,326 ditempatkan di PKRC; 3,532 dimasukkan ke hospital; dan 281 pesakit dirawat di ICU, dengan 155 daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan.

BERITA BERKAIT
POPULAR