DAP pertahan Tajuddin selepas dipecat, jangan dijadikan kambing hitam

Ahli Parlimen DAP Segambut, Hannah Yeoh mempertahankan Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman yang dipecat daripada jawatan Pengerusi Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) sambil menyifatkan tindakan itu bertujuan menjadikan Ahli Parlimen UMNO berkenaan sebagai ‘kambing hitam’.

Justeru, pemimpin DAP Selangor itu mendesak supaya UMNO bertindak balas susulan pemecatan Tajuddin hari ini.

“Sekarang saya ingin melihat UMNO membalas dengan menuntut pemecatan menteri Bersatu yang tak berfungsi. Bolehkah anda memikirkan beberapa nama? Kerana Tajuddin seharusnya bukan satu-satunya yang perlu menjadi kambing hitam,” ciapnya di Twitter hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas pemecatan Tajuddin daripada jawatan Pengerusi Prasarana oleh Kementerian Kewangan hari ini.

Agenda Daily melaporkan Tajuddin mencetuskan kontroversi berhubung caranya yang tidak profesional mengendalikan sidang media selepas melawat lokasi kejadian nahas Transit Aliran Ringan (LRT) kelmarin.

Kementerian Kewangan menamatkan perkhidmatannya serta-merta hari ini dan surat penamatan kontrak tersebut ditandatangani Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz bertarikh 26 Mei 2021.

“Dimaklumkan bahawa Menteri Kewangan (Diperbadankan) telah bersetuju agar perkhidmatan YB Datuk Seri sebagai Pengerusi Bukan Eksekutif Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) ditamatkan berkuat kuasa serta-merta,” kata surat itu.

Awal hari ini, Tajuddin menerima desakan supaya meletak jawatan susulan kenyataan dan tingkah laku beliau pada sidang media selepas melawat lokasi kejadian nahas LRT kelmarin.

Selain tidak memakai pelitup muka, Tajuddin juga dituduh gagal dan tidak mempunyai perasaan sensitif atau empati terhadap mangsa tragedi LRT, sekali gus membuktikan beliau sama sekali tidak layak menduduki kerusi Pengerusi Prasarana.

Menurut satu petisyen yang dilancarkan menerusi Change.org, Tajuddin dituduh sombong, angkuh dan bongkak ketika sesi sidang media sejurus melawat lokasi tragedi.

Tajuddin juga didakwa membuat kenyataan kasar terhadap seorang wartawan asing dari China. Dengan reaksi air muka yang ditunjukkannya ketika memberi jawapan lucu yang menyakitkan terhadap soalan serius yang diajukan oleh wartawan itu.

“Ditambah pula dengan ‘racist remark’ beliau terhadap seorang journalist Cina,” kata petisyen itu, sambil mengatakan Tajuddin juga melanggar prosedur operasi standard (SOP) kerana tidak memakai pelitup muka.

“Oleh itu, kami mendesak agar Tajudin Abdul Rahman, MP Pasir Salak untuk segera meletakkan jawatan sebagai Pengerusi Prasarana. Kementerian Kewangan juga perlu bertindak memecat Tajudin jika dia masih lagi berkeras melepas jawatan tertinggi anak syarikat MOF tersebut,” kata petisyen itu lagi.

Tajuddin juga didakwa tidak menunjukkan profesionalisme dalam kedudukannya sebagai ketua organisasi infrastruktur penting di negara ini dan dalam hal ini menimbulkan rasa malu yang tidak terucapkan kepada negara.

BERITA BERKAIT
POPULAR