
Ketua Penerangan Bersatu Datuk Wan Saiful Wan Jan dan Ketua Penerangan UMNO Shahril Hamdan.
Ketua Penerangan Bersatu Datuk Wan Saiful Wan Jan berharap jawatan yang dipegang Ketua Penerangan UMNO Shahril Hamdan di Pejabat Perdana Menteri, tidak membuka peluang kepada pengaliran dana syarikat yang berurusan dengan kerajaan.
Sehubungan itu, beliau menggesa Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob tidak takut kepada kluster mahkamah dengan memansuhkan jawatan Pengarah Ekonomi yang duduki Shahril selama ini.
“Sekarang sudah pecah rahsia bahawa Shahril ini perangai dia sama dengan boss sebenarnya Zahid Hamidi (Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi).
“Dengan akses kepada maklumat-maklumat sensitif berkaitan kontrak kerajaan, jawatan di Pejabat PM membuka ruang untuk Shahril mengambil dana dari syarikat yang berurusan dengan kerajaan.
“Siapa boleh beri jaminan bahawa hari ini Shahril tidak mengambil duit dari syarikat-syarikat yang ada kontrak dengan kerajaan secara senyap-senyap?
“Apa sebenarnya yang Shahril Hamdan buat sebagai Pengarah Ekonomi di Pejabat Perdana Menteri?,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Wan Saiful dipercayai mengulas pendedahan berkaitan dana yang didakwa diterima oleh Shahril daripada syarikat Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB) – sebuah syarikat tempatan yang telah terlibat dalam pemberian kontrak sistem visa asing luar negara (VLN).
Pendedahan itu dibuat oleh bekas Pengurus Pentadbiran UKSB David Tan Siong Sun di Mahkamah Tinggi Shah Alam, hari ini, ketika memberi keterangan sebagai saksi perbicaraan kes rasuah Zahid.
Ketika soal siasat pihak pembelaan, Tan memberitahu mahkamah bahawa Shahril menerima sejumlah RM1.16 juta untuk tujuan pembiayaan politik kerana menjadi sekutu rapat Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin.
Mengulas lanjut, Wan Saiful berkata tidak perlu lagi wujud jawatan Pengarah Ekonomi di Pejabat Perdana Menteri kerana sudah ada Kementerian Kewangan yang menjalankan tugas itu, selain Unit Perancang Ekonomi Jabatan Perdana Menteri.
“Tak perlu jawatan tambahan untuk spy Zahid Hamidi ini. Kerajaan kata nak buat penjimatan.
“Perdana Menteri boleh mulakan dengan memansuhkan jawatan Pengarah Ekonomi kerana ia menjadi salah satu lambang keborosan untuk manfaat kluster mahkamah dalam UMNO dan pengikut mereka.
“Ismail Sabri jangan lah sehingga nampak takut kepada kluster mahkamah. Kalau dikekalkan spy kluster mahkamah ini, nanti rakyat hilang kepercayaan terhadap integriti Pejabat Perdana Menteri,” katanya.