Dalam pembelaan, Zahid jelaskan pernah peroleh pendapatan RM120,000 sebulan

Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dalam kenyataan pembelaan yang bermula hari ini melibatkan kes rasuah dana Yayasan Akalbudi menjelaskan pernah memperoleh pendapatan purata yang tinggi sebulan sejak pertengahan 1990-an.

Presiden UMNO yang berdepan 47 tuduhan rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram menafikan semua pertuduhan tersebut, malah tidak pernah mengarahkan sesiapa menggunakan dana Yayasan Akalbudi untuk kegunaan peribadinya.

“Saya pernah memperoleh pendapatan kira-kira RM120,000 sebulan ketika itu tetapi hanya menggunakan RM30,000 hingga RM40,000 untuk kegunaan peribadi dan keluarga saya.

“Bakinya semua saya gunakan untuk tujuan kebajikan sama ada menderma wang itu atau membantu fakir miskin dan menggunakannya untuk aktiviti keagamaan dan kebajikan,” katanya yang memberikan keterangan bela diri sebagai saksi pembelaan pertama hari ini.

Untuk rekod, Zahid berkata pendapatannya itu mencecah nilai tersebut ketika menjadi pengerusi Bank Simpanan Nasional (BSN), dan pengarah eksekutif di empat syarikat lain, iaitu Kertam Holding Bhd, Tekala Corporation Bhd, Hup Seng Bhd dan Ramatex Bhd.

Bagaimanapun, Zahid berkata beliau terpaksa melepaskan jawatannya dalam syarikat berkenaan selepas ditahan selama 10 hari di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) pada 1998.

Terdahulu ketika menceritakan mengenai karier politiknya, Ahmad Zahid berkata pada 1987 beliau dilantik sebagai setiausaha politik kepada Menteri Belia dan Sukan ketika itu iaitu Datuk Seri Najib Razak sebelum menjadi Menteri Pelancongan pada 2004, Menteri Pertahanan pada 2009 dan Menteri Dalam Negeri pada 2013.

Zahid berkata beliau dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri pada tahun 2015, iaitu jawatan yang disandangnya sehingga tahun 2018 di mana pendapatannya ketika itu kira-kira RM50,000 sebulan.

Menurutnya, beliau kini mempunyai simpanan kira-kira RM2 juta yang disimpan dalam akaun simpanan Bank Islam.

Bagaimanapun, katanya aktiviti kebajikan dan amalnya terhenti sejak akaun Yayasan Akalbudi dibekukan selepas didakwa di mahkamah.

Pada 24 Januari lalu, Zahid diperintahkan membela diri selepas Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Collin Lawrence Sequerah memutuskan bahawa pihak pendakwaan yang diketuai Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Raja Rozela Raja Toran berjaya menimbulkan kes prima facie terhadap Zahid yang juga pengasas yayasan berkenaan.

Sequerah membuat keputusan itu di akhir kes pendakwaan di mana kes berprofil tinggi itu memakan masa selama hampir tiga tahun dengan mendengar keterangan seramai 99 saksi pendakwaan.

Zahid didakwa dengan 12 pertuduhan pecah amanah, iaitu menggunakan dana Yayasan Akalbudi untuk membuat enam pembayaran kad kredit milik persendirian, polisi insurans kenderaan dan lesen motor persendirian, kiriman wang kepada sebuah firma guaman dan sumbangan kepada persatuan bola sepak Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Bagi lapan tuduhan rasuah pula, beliau didakwa menerima suapan daripada tiga syarikat iaitu Mastoro Kenny IT Consultant & Services, Data Sonic Group Berhad dan Profound Radiance Sdn Bhd sebagai dorongan untuk dirinya sebagai Menteri Dalam Negeri ketika itu bagi membantu syarikat berkenaan mendapatkan projek MyEG.

Ia bagi melaksanakan penambahan pembekalan cip pasport selama lima tahun atau 12.5 juta cip yang akan dimasukkan ke dalam halaman biodata polycarbonate Pasport Malaysia untuk Jabatan Imigresen Malaysia, sebagai pengendali perkhidmatan pusat sehenti di Pakistan dan Nepal di bawah kendalian Kementerian Dalam Negeri.

Ahli Parlimen Bagan Datuk itu juga berdepan 27 pertuduhan pengubahan wang haram dengan membabitkan diri dalam transaksi secara langsung membabitkan pendapatan daripada aktiviti haram antara 29 Mac 2016 dan 11 April 2018.

BERITA BERKAIT
POPULAR