Dakwaan penstrukturan tol dibuat semasa era kerajaan PH tak benar: Fadillah

Datuk Seri Fadillah Yusof menyangkal dakwaan mengatakan langkah penstrukturan tol bermula semasa era kerajaan Pakatan Harapan (PH) mengambi alih pentadbiran negara pada 2018 lalu.

Menteri Kerja Raya itu menafikan blok pembangkang yang mendakwa inisiatif tersebut bermula ketika mereka menjadi kerajaan, sebaliknya menjelaskan ia dimulakan sejak 2002 dalam usaha berterusan kerajaan untuk mengurangkan beban rakyat.

“KKR (Kementerian Kerja Raya) telah memulakan inisiatif berhubung isu berkaitan tol sejak 2002, manakala PH menjadi kerajaan pada 2018, iaitu 16 tahun selepas itu,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Jelasnya, ketika negara di bawah pentadbiran Barisan Nasional (BN) pada 2002, kerajaan ketika itu membuat keputusan supaya KKR bersama agensi berkaitan berunding dengan syarikat konsesi lebuh raya bagi penstrukturan semula kadar tol lebuh raya utama di negara ini.

Apabila rundingan dilaksanakan bersama syarikat konsesi, ia berdasarkan unjuran trafik dan apabila sesebuah lebuh raya berkenaan telah siap dan digunakan, maka jumlah trafik sebenar akan diperoleh dan digunakan untuk rundingan penstrukturan, kata Fadillah lagi.

“Penstrukturan suatu inisiatif berterusan bagi memastikan rakyat tidak terbeban dengan kadar tol yang tinggi,” katanya.

Isnin lalu, Fadillah mengumumkan sebuah syarikat swasta akan mengambil alih konsesi empat lebuh raya, iaitu Lebuhraya Shah Alam (KESAS), Sistem Pengurusan Air Banjir dan Terowong (SMART), Lebuhraya Skim Penyuraian Trafik Kuala Lumpur Barat (SPRINT) dan Lebuhraya Damasara-Puchong (LDP).

Syarikat terbabit, Amanat Lebuhraya Rakyat Berhad (ALR) yang semua pemegang sahamnya bukan berasaskan keuntungan, dipengerusikan Tan Sri Azlan Mohd Zainol. Penstrukturan semula menerusi kaedah itu menyaksikan tiada lagi pemegang saham dalam apa juga bentuk seperti dividen.

Mengulas lanjut, Fadillah berkata, strategi penstrukturan bertujuan mengurangkan kadar tol lebuh raya antara bandar secara berperingkat, mengambil kira kenaikan kos sara hidup, komitmen syarikat konsesi (pinjaman), kesan kepada tanggungan kerajaan (pampasan) dan kadar tol lebuh raya.

Berdasarkan aspirasi kerajaan itu, katanya, kesemua lebuh raya yang beroperasi ketika ini sudah melalui beberapa penstrukturan bagi memastikan kadar tol yang dikutip daripada pengguna lebuh raya adalah berpatutan, contohnya kadar tol Lebuhraya Damansara Puchong distruktur semula kepada kadar sekarang pada 2007.

Selain itu, beberapa plaza tol dimansuhkan, antaranya Slim River, Perak pada 1993; Senai, Johor Bahru (2004); Plaza Tol Salak Jaya, Lebuhraya Sungai Besi (2009);Plaza Tol satu hala Kampung Medan, Lebuhraya Baru Pantai (2011), Plaza Tol satu hala Lebuhraya Cheras-Kajang (2012); Lebuhraya Persekutuan, Bukit Kayu Hitam, Kedah, dan Lebuhraya Penyuraian Timur (EDL) di Johor (2018).

Katanya, kerajaan juga melaksanakan satu makmal subsidi pada 2009 bagi mengkaji alternatif terbaik bagi menyelesaikan kenaikan kadar tol, namun keputusan ketika itu adalah mengekalkan kadar sedia ada memandangkan implikasi negatif yang akan dialami kerajaan dan negara di mata pelabur.

“Namun, kerajaan tidak pernah berhenti untuk mencari alternatif terbaik demi kesejahteraan pengguna lebuh raya serta memastikan kepentingan pelabur terjaga dengan membuat beberapa lagi kajian,” katanya.

Beliau menjelaskan, mesyuarat Jemaah Menteri pada 3 Oktober 2018 bersetuju supaya KKR dan Kementerian Kewangan membentangkan hasil kajian dan analisis kos-faedah jangka panjang kepada kerajaan lanjutan cadangan penjualan lebuh raya milik kerajaan kepada pihak swasta tempatan.

“Ini termasuk mengambil kira pelbagai aspek seperti pengurangan kadar kutipan tol, kesan politik terhadap kerajaan dan sebagainya. Lanjutan itu, KKR melantik perunding audit bebas bertauliah, KPMG PLT pada Januari 2019 bagi membantu kerajaan meneliti dan mengkaji secara holistik hala tuju industri tol di negara ini.

“Ini termasuk mengemukakan cadangan mengurangkan beban tol secara jangka pendek, jangka sederhana dan jangka panjang.

“Seterusnya pada 2019 selaras manifesto kerajaan PH, KKR mengkaji semula industri lebuh raya dengan penekanan kepada kesan tol terhadap kos sara hidup serta mengemukakan cadangan penyelesaian terbaik berhubung perkara ini.

“Namun demikian, mengambil kira bebanan perlu ditanggung kerajaan untuk melaksanakan pengambilalihan itu, kerajaan mengubahsuai cadangan manifesto berkenaan,” katanya.

BERITA BERKAIT
POPULAR