
Presiden Majlis Peguam Malaysia Karen Cheah Yee Lynn
Sebarang percubaan yang mendakwa bahawa Datuk Seri Najib Razak adalah mangsa dalam rayuan terakhir sabitan hukuman dalam kes SRC International Sdn Bhd (SRC) di Mahkamah Persekutuan sekarang ini adalah “sangat jahat”, kata Majlis Peguam Malaysia hari ini (19 Ogos).
Dalam satu kenyataan, Presiden Majlis Peguam Karen Cheah Yee Lynn berkata ia adalah keputusan Najib sendiri untuk menukar peguamnya terlalu lewat untuk melalui prosiding.
Beliau menyatakan bekas Perdana Menteri itu telah dua kali bertindak menukar pasukan pembelaannya ketika perbicaraan kes SRC.
“Oleh itu, apa-apa ketidakadilan yang dikatakannya (Najib), jika ada, pastinya dilakukan sendiri.
“Harapannya terhadap perbicaraan yang adil, yang telah diberikan sepenuhnya kepadanya pada setiap masa material, juga mesti bermakna dia meletakkan dirinya dalam sistem kehakiman tanpa sebarang rancangan licik – terutamanya jika dia benar-benar menghargai hak kebebasannya.
“Apa yang nyata ialah tiada alasan yang meyakinkan diberikan untuk pelepasan sebanyak dua kali itu, sama ada hampir dengan tarikh perbicaraan atau semasa mendengar perkara itu di Mahkamah Persekutuan.
“Tarikh perbicaraan seperti itu bukan sahaja ditetapkan lebih awal, tetapi dihebahkan kepada umum,” katanya memetik laporan MalayMail.
Pada 25 Julai lalu, bekas Presiden UMNO itu memberhentikan Tetuan Shafee & Co yang mewakilinya dalam kes SRC sejak 4 Julai 2018 dan melantik firma guaman Tetuan Zaid Ibrahim Suffian TH Liew & Partners sebagai peguam cara baharu, dengan Hisyam Teh Poh Teik sebagai peguam utama serta Liew Teck Huat dan Rueben Mathiaravanam sebagai peguam bersama.
Hari ini, Najib membuat satu lagi kejutan di Mahkamah Persekutuan dengan menamatkan khidmat firma guaman Zaid Ibrahim Sufian TH Liew & Partners yang baharu sahaja dilantik mewakilinya, daripada bertindak sebagai peguam caranya dalam rayuan terakhir itu.
Pada masa sama, Hisyam Teh sekali lagi bertegas untuk tidak mengemukakan sebarang hujahan bagi pihak Najib – yang akan membawa bekas Presiden UMNO itu terus ke penjara jika rayuan terakhir itu ditolak.
Najib mengemukakan rayuan terakhir di Mahkamah Persekutuan bagi mengetepikan sabitan dan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta yang dihadapinya dalam kes penyelewengan dana RM42 juta milik SRC.
Pada 8 Disember tahun lalu, Mahkamah Rayuan mengekalkan sabitan salah yang dikenakan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 28 Julai 2020 selepas didapati bersalah atas tujuh pertuduhan membabitkan penyelewengan dana SRC.