Dakwaan murid hampir diculik: Polis Perak tubuh pasukan khas siasatan

September 26, 2022 · Isu semasa

Polis Perak menubuhkan pasukan siasatan khas susulan dakwaan kejadian cubaan melarikan seorang murid sekolah rendah di Taman Pinji Mewah dekat Ipoh, seperti yang tular di media sosial, baru-baru ini.

Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Yusri Hasan Basri berkata siasatan dijalankan dari pelbagai sudut selain turut melibatkan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan pihak sekolah.

Kerjasama itu juga katanya adalah sebagai usaha untuk mempertingkatkan langkah-langkah pencegahan jenayah serta keselamatan di sekolah.

Beliau mengesahkan polis telah menerima laporan berkenaan kejadian itu daripada ibu murid berkenaan pada Jumaat minggu lalu.

“Semalam, polis Perak telah terkesan satu hantaran daripada seorang pengguna media sosial berkenaan satu kejadian cubaan melarikan murid di hadapan sebuah sekolah di Taman Pinji Mewah pada 23 September lalu dan mendapat perhatian masyarakat umum.

“Polis Perak mengesahkan bahawa telah menerima satu laporan polis berkenaan kejadian tersebut pada 23 September, jam 9.07 malam daripada ibu mangsa.

“Justeru, orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi berkenaan kejadian ini agar tidak menjejaskan siasatan yang dilakukan oleh pihak polis,” katanya dalam satu kenyataan hari ini (26 September 2022).

Mohd Yusri berkata polis akan memastikan keselamatan dan kesejahteraan sekolah dipelihara serta telah menempatkan pegawai polis sebagai Pegawai Perhubungan Sekolah (PPS) di seluruh Perak.

Pada masa sama, beliau jugamenasihatkan ibu bapa untuk menghantar dan mengambil anak mereka mengikut waktu yang telah ditetapkan pihak sekolah

“Sekiranya mempunyai sebarang masalah mengenai urusan mengambil dan menghantar murid ke sekolah, sila maklumkan kepada pihak sekolah dengan segera.

“Selain itu, pihak sekolah diingatkan untuk memastikan urusan mengambil dan menghantar murid hanya dilakukan oleh ibu bapa dan penjaga yang disahkan sahaja,” katanya.

Katanya lagi, orang ramai yang mempunyai maklumat berkenaan kejadian itu boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Kanan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh, ASP Norazlina Rais Ahmad di talian 013-6282176 atau memaklumkan kepada mana-mana balai polis berhampiran.

Pada Ahad, seorang pengguna Facebook memuat naik hantaran di laman media sosialnya berkenaan cubaan menculik seorang murid sekolah rendah di Taman Pinji Mewah dekat Ipoh pada 23 September lalu.

Dalam hantaran berkenaan, pelayar yang dipercayai bapa kepada murid berkenaan berkata anak perempuannya hampir menjadi mangsa culik apabila didatangi seorang lelaki sebelum ‘dipelawa’ dengan gula-gula ketika berada di hadapan sekolahnya.

Dakwanya, anaknya telah ditarik oleh lelaki berkenaan sebelum anaknya bergelut dan berjaya melepaskan diri selepas menggigit anggota badan lelaki tersebut.

Dia juga mendakwa individu itu sempat melarikan diri dengan menaiki sebuah van putih yang terletak kira-kira 20 meter dari lokasi asal anaknya berada.

Berita berkaitan
Polis terima satu lagi laporan bom petrol dilempar ke KK Mart
March 30, 2024· Isu semasa
Senjata api dimiliki warga Israel dibekal warga tempatan: Polis
March 30, 2024· Isu semasa
Banjir: Kelantan dan Perak catat peningkatan mangsa dipindahkan
December 17, 2023· Isu semasa
Polis segerakan siasatan dalam kes langgar pelajar sehingga maut
December 16, 2023· Isu semasa
Popular
Hijrah Diri Jakim bantu LGBT kena serang, dikeluarkan dari Google Play
March 18, 2022
Baik buruk media sosial
March 26, 2022
Polis tahan 11 lagi saksi kes tarian separuh bogel majlis Aidilfitri
June 4, 2022
Ringgit ditutup paras RM4.79 berbanding dolar, hampir cecah rekod 1997
April 18, 2024
Lagi Isu semasa terkini
KWSP jual pegangan saham terbesar dalam Affin Bank
April 18, 2024 · Isu semasa
Ringgit ditutup paras RM4.79 berbanding dolar, hampir cecah rekod 1997
April 18, 2024 · Isu semasa
Kesan hapus subsidi, Bank Dunia jangka inflasi Malaysia naik 2.5 peratus
April 1, 2024 · Isu semasa
Polis sedang kesan individu hina Sultan Selangor, dipercayai berada luar negara
March 27, 2024 · Isu semasa
Saman fitnah: Rayuan Jamal ditolak, perlu bayar RM300 ribu kepada Kok
March 27, 2024 · Isu semasa
Video / Foto
[VIDEO] Mahathir dakwa SPRM ugut Mirzan untuk dakwa dirinya
January 22, 2024
[VIDEO] Siasat saya senang, yang susah siasat PM sebab ada kuasa, kata Mahathir
January 22, 2024

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok