Dakwaan kes culik murid di tiga negeri tak berasas, palsu: Polis

September 27, 2022 · Isu semasa

Polis Perak hari ini (27 September 2022) mengesahkan cubaan menculik seorang pelajar di luar Sekolah Kebangsaan Pengkalan, Taman Pinji Mewah di Ipoh, yang dirakam dalam video tular minggu lalu, adalah palsu.

Ketua Polis Perak Datuk Mohd Yusri Hassan Basri juga berkata murid berusia sembilan tahun yang terlibat dalam kejadian itu mengaku membuat laporan palsu untuk mengetahui cara polis mengambil tindakan terhadap kes penculikan.

Katanya berdasarkan siasatan polis, murid berkenaan mengaku mengada-adakan cerita kepada ibunya, sebelum membuat laporan polis.

“Kita sudah siasat murid termasuk lima saksi yang terlibat dalam laporan, rakan sekelas, pengawal keselamatan serta pemandu van sekolah, (semuanya) tidak menjurus kepada situasi cubaan membawa lari atau menculik kanak-kanak, ia tak benar.

“Mungkin murid itu banyak terpengaruh dengan visual culik di luar negara melalui laman sosial, malah ada yang sedang viral, hingga dia mereka-reka cerita selain menyatakan ingin melihat apakah tindakan polis dalam isu berkenaan,” katanya dalam sidang media di Ipoh, hari ini menurut Bernama.

Kes cubaan culik ini tular menerusi Facebook selepas bapa kanak-kanak itu memuat naik satu hantaran mendakwa anaknya hampir diculik, namun berjaya menyelamatkan diri ketika berada di hadapan sekolah Sabtu lepas.

Sementara itu, di Kuala Terengganu, Bernama melaporkan polis negeri itu mengingatkan semua pihak supaya tidak menyebarkan isu keselamatan tanpa fakta sebenar, berhubung dakwaan berlaku kes penculikan dan cubaan menculik kanak-kanak sekolah.

Ketua Polis Terengganu Datuk Rohaimi Md Isa berkata pihaknya mendapat maklumat mengenai surat yang tular di media sosial, dipercayai telah dikeluarkan oleh beberapa sekolah di negeri ini mengenai dakwaan berlaku kes penculikan kanak-kanak sekolah yang kononnya ‘sering berlaku’ ketika ini.

“Mengatakan kes penculikan kanak-kanak sering berlaku adalah tidak benar kerana masih belum ada laporan polis diterima daripada orang awam atau dari pihak sekolah sendiri mengenai insiden tersebut.

“Tidak menjadi masalah jika sentiasa memberi ingatan tentang keselamatan anak-anak, tapi menggunakan isu keselamatan yang tidak benar dan tanpa fakta boleh menimbulkan kerisauan dan kegusaran dalam masyarakat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sehubungan itu, beliau meminta agar anggota masyarakat bertenang dan menggesa pihak sekolah supaya sentiasa berhubung dengan pihak polis sekiranya timbul sebarang isu keselamatan, menerusi ketua polis daerah atau pegawai perhubungan sekolah (PPS) masing-masing.

Di Kelantan, polis negeri itu memohon kerjasama rakyat di negeri itu khususnya warga siber, supaya menghentikan perbuatan menyebar dakwaan kes culik sehingga menimbulkan ketakutan dalam kalangan masyarakat.

Ketua Polis Kelantan Datuk Muhamad Zaki Harun berkata dakwaan cubaan membawa lari atau menculik kanak-kanak di pekarangan sekolah yang berlegar-legar dalam laman media sosial sejak kebelakangan ini, didapati tidak berasas.

“Beberapa hantaran yang dimuat naik dalam media sosial dan ditularkan telah mendorong Polis Diraja Malaysia (PDRM) khususnya di Kelantan menjalankan siasatan.

“Dakwaan yang mengaitkan indvidu mencurigakan berada di pekarangan sekolah atau tempat tertentu telah disiasat oleh pihak polis, namun kesemua dakwaan berkenaan tidak menjurus kepada situasi cubaan membawa lari atau menculik kanak-kanak,” katanya dalam satu kenyataan, malam tadi, menurut Bernama.

Muhamad Zaki berkata tindakan menyebar bahan atau perkara tidak berasas sehingga boleh menimbulkan kegelisahan awam dan ketakutan dalam masyarakat merupakan satu kesalahan.

Berita berkaitan
Polis terima satu lagi laporan bom petrol dilempar ke KK Mart
March 30, 2024· Isu semasa
Senjata api dimiliki warga Israel dibekal warga tempatan: Polis
March 30, 2024· Isu semasa
Ahli perniagaan didakwa guna gelaran Dato Sri palsu
January 5, 2024· Isu semasa
Banjir Kelantan: Penduduk di Kuala Krai terputus hubungan, jalan tenggelam
December 27, 2023· Isu semasa
Popular
Ketahui hak harta sepencarian selepas bercerai
January 12, 2022
Kembalikan deria bau
November 9, 2021
BNM dijangka naikkan OPR 25 mata asas lagi bulan depan
October 21, 2022
Banjir: Tiga beradik maut kena renjatan elektrik di Kelantan
December 19, 2022
Lagi Isu semasa terkini
Rayuan Rosmah dalam kes rasuah solar didengar pada 23 Okt
April 23, 2024 · Isu semasa
Semua 10 mayat mangsa nahas helikopter berjaya dikeluarkan
April 23, 2024 · Isu semasa
Jualan saham pelabur asing tertinggi empat tahun minggu lalu: MIDF
April 22, 2024 · Isu semasa
KWSP jual pegangan saham terbesar dalam Affin Bank
April 18, 2024 · Isu semasa
Ringgit ditutup paras RM4.79 berbanding dolar, hampir cecah rekod 1997
April 18, 2024 · Isu semasa
Video / Foto
[VIDEO] Mahathir dakwa SPRM ugut Mirzan untuk dakwa dirinya
January 22, 2024
[VIDEO] Siasat saya senang, yang susah siasat PM sebab ada kuasa, kata Mahathir
January 22, 2024

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok