Pendakwa Raya kata RM9.5 juta pinjaman untuk tutup jenayah Shafee

September 15, 2022 · Isu semasa

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini diberitahu dakwaan peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah bahawa wang RM9.5 juta yang diterimanya daripada Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak merupakan pinjaman, adalah semata-mata untuk menutup jejak jenayahnya dan melindungi identiti sebenar wang berkenaan.

Timbalan Pendakwa Raya, Afzainizam Abdul Aziz berhujah, Muhammad Shafee sememangnya mempunyai niat untuk mengelak membayar cukai ke atas pendapatan RM9.5 juta itu dan menggunakan wang tersebut bagi membeli sebuah banglo pada harga RM9.3 juta, menurut laporan Bernama.

Afzainizam berhujah, peguam itu menggunakan wang berkenaan untuk kepentingan peribadi, sedangkan beliau mempunyai aliran tunai yang lancar dan tiada masalah melaporkan pendapatan kasar kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), serta mampu membayar cukai pendapatan.

“Mengapa wang itu (RM9.5 juta) tidak diisytiharkan kepada (LHDN)? Kenapa ini berlaku…kerana beliau (Muhammad Shafee) lebih mengutamakan faedah beliau dengan membeli banglo tersebut.

“Beliau selaku peguam sepatutnya tahu pendapatan perlu dilaporkan dan setiap peguam diingatkan oleh Majlis Peguam untuk melaporkan pendapatan.

“Namun, beliau menggunakan hampir 97 peratus daripada wang RM9.5 juta yang diterima itu untuk membayar pembelian aset, sedangkan wang itu sepatutnya digunakan untuk membayar cukai pendapatan,” katanya.

Menurut Afzainizam, hasil siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) juga menunjukkan, dua cek yang diterima daripada bekas Perdana Menteri itu merupakan hasil aktiviti haram yang kemudian dimasukkan ke dalam akaun peribadi peguam berkenaan.

Beliau berhujah, Muhammad Shafee memberitahu SPRM bahawa wang RM9.5 juta itu merupakan pinjaman daripada Najib dan beliau tidak perlu melaporkannya kepada LHDN atau membayar cukai kerana ia bukan pendapatan.

Sementara itu, peguam Harvinderjit Singh yang mewakili Muhammad Shafee berhujah, wang RM9.5 juta yang diterima anak guamnya daripada Najib bukan hasil daripada aktiviti haram.

“Wang itu diperolehi secara sah selepas Muhammad Shafee memberikan khidmat guaman kepada Najib berkaitan petisyen pilihan raya UMNO dan Barisan Nasional (BN),” katanya dan menambah Najib perlu dipanggil memberi keterangan di mahkamah, bagi membuktikan wang yang diberikan itu adalah wang guaman.

Selepas kedua-dua pihak berhujah, Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin menetapkan 28 Okt ini, untuk keputusan sama ada peguam terkemuka itu akan dibebaskan atau diperintah membela diri terhadap empat pertuduhan dihadapinya.

Pada 12 Mei lepas, pihak pendakwaan menutup kes selepas mengemukakan lapan saksi pada perbicaraan yang bermula 21 Mei 2021.

Pada 13 Sept 2018, Muhammad Shafee, 70, mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan menerima wang hasil kegiatan haram berjumlah RM9.5 juta melalui dua cek dikeluarkan Najib, yang dimasukkan ke dalam akaun CIMB Bank Berhad miliknya iaitu cek RM4.3 juta diterima pada 13 Sept 2013, manakala RM5.2 juta pada 17 Feb 2014.

Muhammad Shafee dituduh melakukan kedua-dua kesalahan itu di CIMB Bank Bhd, Taman Tunku, Bukit Tunku di sini mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001, yang membawa hukuman maksimum penjara lima tahun dan denda RM5 juta atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Peguam itu juga berdepan dua pertuduhan terlibat dalam transaksi hasil daripada aktiviti haram iaitu mengemukakan penyata tidak betul dan bertentangan dengan perenggan 113(1)(a) Akta Cukai Pendapatan 1967, bagi tahun kewangan berakhir pada 31 Dis 2013 dan 31 Dis 2014.

Beliau didakwa melakukan kesalahan itu di LHDN cawangan Jalan Duta, Kompleks Pejabat Kerajaan, Jalan Tuanku Abdul Halim di sini pada 3 Mac 2015 dan 29 Jun 2015 dan berdepan hukuman maksimum penjara 15 tahun dan denda lima kali ganda jumlah hasil aktiviti haram.

Berita berkaitan
UMNO sekat pertandingan jawatan Presiden, pecat calon mahu cabar Zahid: Afnan
3 jam lalu· Politik
UMNO tanding PRK Kemaman jika diadakan, kata Zahid yakin rakyat sokong
3 jam lalu· Politik
Bukan Rafizi saja salah tapi PMX juga gagal memimpin negara, kata Tun Faisal kepada Puad
September 29, 2023· Politik
Puad sindir Rafizi gagal tawar formula luar biasa
September 29, 2023· Politik
Popular
Banjir: Mangsa di Kedah dan Perlis meningkat tapi kerajaan pusat seakan tak endah
September 29, 2023
Larikan seorang penganggur, enam ditahan termasuk pegawai dan anggota polis
September 29, 2023
Pengenalan caj bayaran QR tak bebankan golongan berpendapatan rendah: PMX
September 29, 2023
Kes bunuh: Lelaki tikam isteri sehingga mati serah diri kepada polis
September 30, 2023
Lagi Isu semasa terkini
Kes bunuh: Lelaki tikam isteri sehingga mati serah diri kepada polis
3 jam lalu · Isu semasa
Stadium Shah Alam diroboh selewat-lewatnya pada November: Amirudin
3 jam lalu · Isu semasa
Tiga PPS di Kedah ditutup, mangsa banjir menurun
23 jam lalu · Isu semasa
Larikan seorang penganggur, enam ditahan termasuk pegawai dan anggota polis
23 jam lalu · Isu semasa
Pengenalan caj bayaran QR tak bebankan golongan berpendapatan rendah: PMX
September 29, 2023 · Isu semasa
Video / Foto
[VIDEO] Tak wajar polis pantau PN setiap jam, ganggu kempen calon
6 jam lalu
[VIDEO] Dakwaan Menteri jejas pelancongan, boleh ke Langkawi pakai seluar pendek
September 27, 2023

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok