
Islamic Council of Halal Meat in Australia Inc mengesahkan rumah sembelihan TFI Australia melanggar protokol halal dengan sembelihan tidak mengikut syarak.
Islamic Council of Halal Meat in Australia Inc (SICHMA) – pihak berkuasa pensijilan halal asing yang diiktiraf Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) – mengesahkan rumah sembelihan Thomas Food Industries (TFI) di Australia melanggar protokol halal dalam proses penyembelihan.
TFI yang turut membekalkan daging kambing ke Malaysia dilaporkan melanggar semua protokol halal setelah SICHMA melakukan siasatan audit dengan menemu bual penyembelihnya minggu lalu.
“SICHMA selaku badan pensijilan halal yang bertanggungjawab dalam penyeliaan halal ke atas loji sembelihan mengesahkan perkara itu selepas badan tersebut menjalankan audit mengejut ke atas TFI pada 23 Mei lalu.
“Pengesahan itu dibuat menerusi satu e-mel SICHMA kepada penyelidik bebas Australia, Murray Hunter,” lapor Utusan yang turut menerima e-mel berkenaan.
Dalam e-mel itu, Naib Pengerusi SICHMA, Adem Cetinay berkata pihaknya pada hari audit menemu bual penyembelih di TFI, termasuk meminta penjelasan berhubung cara pengendalian dan arahan kerja di premis berkenaan.
“Amat malang apabila hasil penemuan audit itu menggambarkan semua isu perlanggaran protokol halal seperti dilaporkan sebelum ini.
“Sekiranya perkara itu dilaporkan kepada SICHMA pada hari kejadian, pastinya SICHMA akan memastikan protokol halal diguna pakai sepenuhnya dan kambing yang diproses tanpa mengikut piawaian akan diturunkan gred kepada tidak halal,” kata Adem dalam e-mel itu.
Sejak 14 April lalu, status halal TFI mula diragui apabila prosedur sembelihan didakwa tidak mengikut syariat Islam.
Laporan itu dibuat berdasarkan bukti rakaman video dan gambar menunjukkan haiwan-haiwan dilemaskan dalam takungan darah binatang yang disembelih terdahulu dan haiwan itu mati akibat lemas bukannya kerana disembelih.
Ini termasuk pengakuan terbuka sumber utama bekas penyembelih di rumah sembelihan itu yang mengakui segala dakwaan didedahkan mempunyai bukti bergambar dan rakaman video.
Susulan itu, pada 14 Mei lalu, Malaysia menggantung serta-merta kelulusan import daging dari TFI sehingga siasatan menyeluruh selesai.
Selepas pendedahan itu, tiga lagi rumah sembelihan di Queensland, Australia turut didakwa melanggar protokol halal sembelihan didedahkan seorang wakil organisasi halal antarabangsa di Filipina yang mahu dikenali sebagai Amin yang membuat pemeriksaan mengejut di ketiga-tiga rumah sembelihan tersebut.
Rumah sembelihan terbabit turut mendapat pensijilan halal SICHMA yang diiktiraf badan-badan pensijilan halal di negara Asia Tenggara lain.
Adem berkata, SICHMA hanya memperakukan dua rumah penyembelihan di Queensland, bukan tiga seperti didedahkan Amin itu sekali gus menyifatkan ia adalah satu tuduhan dan dakwaan palsu.
Malah katanya, pemeriksaan mengejut seseorang dari Filipina yang bukan pengesah halal rumah penyembelihan tersebut, dan dalam kes sedemikian, SICHMA akan dimaklumkan terlebih dahulu oleh rumah penyembelihan jika terdapat pihak luar membuat audit.
“Bagaimanapun, kami mengalu-alukan maklumat daripada Amin yang boleh diberikan kepada kami secara langsung untuk menyiasat perkara itu.
“Jika Amin boleh menghubungi Utusan Malaysia, sekiranya beliau begitu prihatin, mengapa beliau tidak melakukan perkara yang betul dan mulia dan menghubungi SICHMA secara terus,” katanya.