Dagangan Malaysia lepasi RM2 trilion buat pertama kali

Jumlah perdagangan Malaysia melepasi aras RM2 trilion buat pertama kalinya, berkembang 24.6 peratus tahun ke tahun kepada RM2.01 trilion bagi tempoh Januari hingga November 2021, menurut Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE).

Dalam kenyataan hari ini, MATRADE berkata, dalam tempoh itu eksport meningkat 25.7 peratus kepada RM1.11 trilion, import naik 23.3 peratus kepada RM894.42 bilion dan lebihan dagangan bertambah 36.2 peratus kepada RM221.53 bilion.

Menurut MATRADE, bagi 11 bulan pertama 2021, kesemua barangan telah merekodkan pertumbuhan eksport, kecuali kelengkapan pengangkutan serta barangan minuman dan tembakau, lapor Bernama

MATRADE berkata eksport keluaran pertanian meningkat 37.3 peratus tahun ke tahun kepada RM87.03 bilion berikutan eksport yang kukuh bagi minyak sawit dan keluaran pertanian berasaskan minyak sawit dan getah asli.

Selain itu, katanya eksport hasil galian naik 17.8 peratus tahun ke tahun kepada RM62.78 bilion, didorong oleh pertambahan eksport gas asli cecair (LNG), bijih logam dan serpihan logam serta petroleum mentah.

Dalam pada itu, menurutnya perdagangan melepasi aras RM200 bilion untuk kali kedua berturut-turut pada November 2021, menjadikannya kepada pertumbuhan dua digit ke-10 bulan berturut-turut sejak Februari 2021.

Pada bulan itu, jumlah perdagangan berkembang 34.9 peratus tahun ke tahun kepada RM205.5 bilion berikutan eksport meningkat 32.4 peratus tahun ke tahun kepada RM112.2 bilion – pengembangan tahun ke tahun ke-15 bulan berturut-turut sejak September 2020 – manakala import naik 38 peratus tahun ke tahun kepada RM93.3 bilion.

Lebihan dagangan meningkat 10.5 peratus tahun ke tahun kepada RM18.9 bilion.

MATRADE berkata kesemua sektor utama merekodkan pertumbuhan dua digit tahun ke tahun yang disumbangkan oleh kenaikan eksport kesemua barangan kecuali keluaran getah dan petroleum mentah.

“Keluaran petroleum melonjak 111.6 peratus kepada RM9.65 bilion dan menyumbang 8.6 peratus daripada jumlah eksport, manakala eksport minyak sawit dan keluaran pertanian berasaskan minyak sawit, meningkat 97.4 peratus tahun ke tahun kepada RM7.91 bilion dan menyumbang 7.1 peratus daripada jumlah eksport,” katanya.

MATRADE berkata eksport kimia dan bahan kimia meningkat 45.9 peratus tahun ke tahun kepada RM6.51 bilion dan merangkumi 5.8 peratus daripada jumlah eksport, manakala barangan perkilangan logam melonjak 75.9 peratus tahun ke tahun kepada RM5.74 bilion dan menyumbang 5.1 peratus daripada jumlah eksport.

Sementara itu, katanya eksport ke pasaran utama khasnya ASEAN, China, Amerika Syarikat (AS), Kesatuan Eropah (EU) dan Jepun merekodkan pertumbuhan dua digit pada November 2021, manakala eksport ke ASEAN dan AS mencatatkan nilai bulanan tertinggi.

ASEAN menyumbang 27.6 peratus daripada jumlah perdagangan Malaysia dengan perdagangan dan eksport merekodkan nilai bulanan tertinggi pada November 2021, berkembang 45.5 peratus tahun ke tahun kepada RM56.63 bilion.

Eksport melonjak 39.4 peratus tahun ke tahun dan import naik 54.8 peratus tahun ke tahun.

Sementara itu, dagangan dengan China yang menyerap 18.5 peratus daripada jumlah perdagangan Malaysia meningkat 26.1 peratus tahun ke tahun kepada RM37.92 bilion, manakala eksport meningkat 20.5 peratus dan import naik 31.2 peratus.

MATRADE berkata eksport ke AS turut mencatatkan nilai tertinggi pada November 2021, meningkat 33.5 peratus tahun ke tahun kepada RM13.03 bilion.

“Import dari AS naik 18.1 peratus tahun ke tahun kepada RM6.69 bilion, justeru jumlah perdagangan dengan AS meningkat 27.9 peratus tahun ke tahun kepada RM19.72 bilion,” katanya sambil menyatakan perdagangan dengan AS menyumbang 9.6 peratus daripada jumlah perdagangan Malaysia pada bulan itu.

Berdasarkan perbandingan bulan ke bulan, MATRADE berkata perdagangan dan import Malaysia masing-masing berkembang 1.5 peratus dan 5.9 peratus, manakala eksport dan lebihan dagangan masing-masing berkurangan sebanyak 1.9 peratus dan 28.1 peratus.

BERITA BERKAIT
POPULAR