
Cuepacs menuntut pelaksanaan gaji minimum penjawat awam RM1,800, menaikkan dua tahap Kenaikan Gaji Tahunan (KGT) dan melaksanakan sistem saraan baharu yang lebih berkesan, di segerakan. - Gambar Bernama
Pelaksanaan gaji minimum penjawat awam RM1,800 adalah antara tiga desakan daripada Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) supaya kerajaan menyegerakannya.
Dua yang lain ialah menaikkan dua tahap Kenaikan Gaji Tahunan (KGT) dan melaksanakan sistem saraan baharu yang lebih berkesan.
Pelaksanaan segera mampu membantu penjawat awam yang kini terkesan akibat kenaikan harga barang dan inflasi, kata Presiden Cuepacs Datuk Adnan Mat.
“Kami tetap berterima kasih kepada kerajaan kerana melaksanakan beberapa langkah utama tangani kenaikan harga barang, tetapi pada masa ini masih tidak mampu membantu kami menghadapi situasi itu dengan kedudukan kewangan dan gaji kami sekarang,” katanya menurut Bernama.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Majlis Perhimpunan Bersama Penjawat Awam dihadiri kira-kira 600 orang di Kota Kinabalu hari ini.
Adnan berkata, pelaksanaan gaji minimum RM1,800 dalam sektor awam akan diikuti oleh sektor swasta yang seterusnya akan dilaksanakan secara menyeluruh dan lancar.
Katanya, gaji minimum itu juga akan memudahkan kerajaan mencapai sasaran pendapatan isi rumah RM10,000 sebulan bagi mencapat matlamat menjadikan Malaysia negara berpendapatan tinggi menjelang 2025 dalam Rancangan Malaysia Ke-12.
Mengenai cadangan sistem saraan baharu, Adnan berkata, Sistem Saraan Malaysia (SSM) sedia ada telah berusia kira-kira 20 tahun dan dilihat tidak berkesan dalam membantu penjawat awam dalam situasi masa kini.
“Diharap kerajaan menimbang cadangan kami untuk sebuah sistem saraan sektor awam yang baharu iaitu antaranya termasuk gaji minimum, peningkatan KGT, kenaikan pangkat dan gred, serta gred minimum 19 bagi memberi pendapatan lebih selesa dan adil untuk membantu penjawat awam,” katanya.