
Presiden Cuepacs Datuk Adnan Mat.
Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) membantah penubuhan Agensi Kawalan Sempadan dikenali sebagai ‘Single Border Agency’ (SBA) untuk mengambil alih keseluruhan fungsi agensi kerajaan di pintu masuk negara, termasuk di pelabuhan dan lapangan terbang.
Presiden Cuepacs Datuk Adnan Mat, berkata Cuepacs berpandangan agensi sedia ada yang mengawal pintu masuk negara sudah melaksanakan tugas dan tanggungjawab masing-masing dengan baik serta berkesan.
Dalam kenyataan hari ini (28 September 2022) beliau berkata bantahan itu diputuskan dalam Persidangan Perwakilan Tri Tahunan Kesatuan Pegawai Kastam Semenanjung Malaysia yang berlangsung di Ayer Keroh, Melaka, hari ini.
“Dengan mengambil contoh Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), jabatan itu bukan sahaja mengawal pintu masuk negara dari aspek keselamatan tetapi juga bertanggungjawab memungut pelbagai cukai yang menyumbang kepada hasil negara.
“Sejak beberapa tahun dahulu, pencapaian hasil kutipan JKDM sentiasa melebihi sasaran ditetapkan kerajaan. Ini bermakna JKDM telah melaksanakan tugas dan tanggungjawabnya dengan cemerlang,” katanya menurut BH.
November tahun lalu, kerajaan bersetuju melantik bekas Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Borhan Dolah, sebagai Ketua Pasukan Nukleus SBA bagi memperincikan penubuhan agensi tunggal menjaga pintu masuk negara dengan lebih cekap.
Selain JKDM, beberapa agensi lain terbabit dalam menjaga pintu sempadan negara seperti Jabatan Imigresen, Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS), Farmasi dan lain-lain agensi.
Adnan turut mempersoalkan rasional tugas menjaga keselamatan di pintu masuk diberikan kepada agensi baharu yang belum diketahui keberkesanannya.
Katanya, langkah itu seumpama kerajaan mahu memperjudikan hasil kutipan negara untuk tahun akan datang jika tertubuhnya SBA kelak.
“Cuepacs yakin agensi lain yang bersama-sama menjaga pintu masuk negara turut melaksanakan tugas dan peranan masing-masing dengan berkesan seperti mana yang dilakukan JKDM,” katanya.
Beliau berkata, sistem kawalan pintu masuk pelbagai peringkat agensi seperti yang dikuatkuasakan sekarang adalah lebih baik dari dikawal hanya satu agensi sahaja.
“Contohnya jika barangan yang diimport adalah ubat-ubatan Jabatan Kastam tidak boleh melepaskan dagangan itu sebelum diberi kelulusan oleh pihak farmasi. Begitu juga dengan barang dagangan yang memerlukan kelulusan agensi lain yang terbabit seperti MAQIS dan SIRIM.
“Jika terdapat kekurangan dalam pengoperasian pintu sempadan negara ketika ini, kerajaan boleh menambah baik pengoperasian itu, bukannya bertindak menggantikan dengan agensi baharu,” katanya.
Beliau mencadangkan diwujudkan koordinasi yang lebih baik antara agensi kerajaan di pintu masuk negara dan kerajaan sewajarnya melakukan rundingan dan sesi libat urus bersama wakil dan kesatuan pekerja dalam apa juga keputusan yang membabitkan pemerkasaan perkhidmatan awam.
“Rundingan dan sesi libat urus ini mampu memberi keputusan yang menang-menang di antara pihak majikan dan pekerja, sekali gus mampu memperkasakan perkhidmatan kerajaan,” katanya.