Cuba kaitkan PM dengan syarikat farmasi menantu, Anuar patut lapor polis

Setiausaha Politik Perdana Menteri Datuk Mohammad Anuar Mohd Yunus wajar membuat laporan polis berhubung tindakan pihak yang cuba mengaitkan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dengan syarikat menantunya Jovian Pharma Sdn Bhd.

Ia susulan tular beberapa keping gambar berhubung majlis perjanjian persefahaman (MoU) antara Jovian Pharma dengan Selcare Pharmacy pada 21 Januari 2022 lalu.

Mengikut rekod, Jovian Pharma ditubuhkan pada 3 September 2021 turut dimiliki menantu Ismail Sabri, Datuk Jovian Mandagie yang bertindak sebagai Pengarah Eksekutif syarikat.

Syarikat itu terbabit dalam jualan runcit barangan farmasi, perubatan dan ortopedik.

Agenda Daily turut menerima dua keping gambar Jovian dan Pengarah Eksekutif Selgate Healthcare Sdn Bhd, Noor Hisham Mohd Ghouth memegang dokumen MoU. Manakala sekeping lagi menunjukkan Ismail Sabri dan Jovian bergambar bersama sambil menggayakan pakaian.

Ketika menjadi Menteri Kanan Keselamatan sebelum ini, Ismail Sabri popular dengan kepelbagaian baju warna-warni dipakainya ketika mengadakan sidang media harian berkaitan Covid-19. Baju itu dipercayai direka khas menantunya, Jovian yang juga seorang pereka fesyen terkenal.

Daripada dua keping gambar yang ditularkan itu, Agenda Daily berpendapat perbuatan berkenaan adalah cubaan untuk mengaitkan jawatan Perdana Menteri dipegang Ismail Sabri dengan syarikat farmasi menantunya yang bekerjasama dengan Selgate Healthcare Sdn Bhd.

Selgate Healthcare Sdn Bhd adalah anak syarikat Selgate Corporation – milik penuh Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) – yang menumpukan kepada penyediaan penyelesaian penjagaan kesihatan terbaik untuk orang ramai.

Untuk rekod, Agenda Daily cuba menghubungi pihak Pejabat Perdana Menteri, bagaimanapun mungkin disebabkan kes saman yang difailkan Ismail Sabri terhadap kami tiada jawapan balik yang diberikan.

Sebelum ini, ada pihak tertentu cuba memburukkan Jovian apabila mengaitkan penggunaan helikopter milik kerajaan untuk kegunaan peribadi bagi menyelamatkan diri daripada terkandas akibat banjir besar pada Disember lalu.

Bagaimanapun, menerusi hantaran di Instagram rasminya, Jovian menegaskan beliau tidak akan sesekali menggunakan harta benda yang bukan miliknya selain menganggap tuduhan terbabit satu fitnah.

“Isu helikopter, tak perlu dipanjangkan. Bukan nak menunjuk, kalau nak menunjuk saya dah ‘posing’ dan buat video serta bergambar sakan. Siapa yang kenal saya, mereka tahu saya bukan seperti itu. Saya tak guna aset kerajaan, Lillahi Taala. Tak mungkin saya akan guna benda yang bukan hak saya.

“Kalian nak maki hamun saya silakan, tapi itu adalah fitnah. Kenapa tak guna helikopter untuk bantu orang ramai? Jawapannya, itu adalah helikopter komersial, jadi tak boleh nak buka pintu dan turunkan bantuan atau naikkan mangsa,” tulisnya dalam perkongsian itu.

BERITA BERKAIT
POPULAR