
Jumlah jangkitan baharu Covid-19 dan kes sembuh di seluruh negara semalam, 24 Ogos 2022.
Jangkitan baharu Covid-19 di seluruh negara dalam tempoh 24 jam semalam (Rabu, 24 Ogos 2022) menunjukkan momentum turun naik, namun masih kekal di bawah paras 3,000 kes buat hari kelima berturut-turut, dengan 11 kematian dilaporkan.
Kementerian Kesihatan (KKM) memaklumkan dalam tempoh itu sebanyak 2,636 jangkitan baharu dilaporkan, termasuk lima kes import. Jumlah itu turun sedikit berbanding 2,722 kes pada Selasa.
Sejak seminggu lalu jangkitan turun daripada 4,071 kes yang direkodkan pada Khamis (18 Ogos) kepada 3,490 pada Jumaat (19 Ogos). Kes turun kepada 2,798 pada Sabtu, diikuti 2,464 (Ahad); dan 2,078 (Isnin).
Jumlah jangkitan baharu itu menjadikan kumulatif positif Covid-19 sejak wabak itu menyerang Malaysia pada Januari 2020 hingga semalam meningkat kepada 4,765,188 kes, dengan 4,694,041 pesakit telah sembuh, termasuk 3,206 yang pulih semalam.
Daripada jumlah jangkitan baharu semalam, 1,716 kes melibatkan individu yang telah menerima suntikan dos penggalak vaksin Covid-19, diikuti 578 kes (penerima dua dos); 329 (individu tidak divaksinasi); dan 13 kes (individu yang belum lengkap divaksinasi).
KKM memaklumkan sehingga kini, sebanyak 34,970 kes masih aktif, termasuk 33,500 pesakit masih menjalani kuarantin di rumah; dan 24 ditempatkan di PKRC.
Seramai 1,379 pesakit lagi dirawat di hospital, dan 67 pesakit dimasukkan ke unit rawatan rapi, dengan 36 daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan.
Berikut adalah jumlah kes baharu dan kumulatif positif Covid-19 mengikut negeri sehingga semalam:
- Selangor – 791 (1,455,110);
- Kuala Lumpur – 231 (422,597);
- Johor – 106 (391,404);
- Sabah – 265 (388,236);
- Sarawak – 120 (312,193);
- Kedah – 124 (307,126);
- Pulau Pinang – 112 (294,259);
- Kelantan – 85 (251,430);
- Perak – 283 (221,317);
- Negeri Sembilan – 161 (218,404);
- Pahang – 75 (175,723);
- Melaka – 109 (132,439);
- Terengganu – 71 (128,481);
- Putrajaya – 82 (26,218);
- Labuan – 11 (22,101); dan
- Perlis – 10 (18,150).
Sementara itu, KKM juga memaklumkan 11 pesakit meninggal dunia akibat komplikasi Covid-19 semalam, termasuk lima kes kematian di luar fasiliti kesihatan atau ‘brought in death’ (BID).
Kes kematian yang dilaporkan semalam membabitkan empat di Johor (satu BID); Selangor (tiga kes, termasuk satu BID); dan masing-masing satu di Kedah (BID), Perak (BID), Sabah, serta Sarawak (BID).
Data laman sesawang CovidNOW KKM menunjukkan sejak Mac 2020 hingga semalam, jumlah kumulatif kematian akibat komplikasi Covid-19 meningkat kepada 36,177 kes, termasuk 7,689 kes BID.
Sementara itu, lebih 72.24 juta dos vaksin Covid-19 telah diberikan kepada populasi Malaysia, termasuk warga asing, sejak Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) dilancarkan pada 24 Februari tahun lalu hingga semalam.
Daripada jumlah itu, 28,088,915 atau 86.0 peratus melibatkan dos pertama; 27,488,309 (84.2 peratus dos kedua); 16,212,088 (49.6 peratus dos penggalak pertama); dan 451,165 (1.4 peratus dos penggalak kedua).

Pemberian vaksin sejak 24 Februari 2021 hingga 24 Ogos 2022.