Covid-19: Wujud tanda awal kes bakal melonjak, 9 kluster baharu hari ini

Kementerian Kesihatan (KKM) memberi amaran tanda-tanda awal bahawa jangkitan Covid-19 di seluruh negara akan melonjak semula sudah kelihatan.

Sehubungan itu, Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah menggesa orang ramai untuk terus patuh kepada prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan.

Pada sidang media hari ini beliau berkata kebenaran rentas negeri tidak menjadi masalah kepada peningkatan kes baharu, sebaliknya perhimpunan beramai-ramai di tempat sempit menjadi punca Covid-19 tersebar.

“Rentas negeri tak ada masalah, yang jadi masalah ialah apabila kita berhimpun ramai-ramai di tempat sempit, berbual dalam jarak yang dekat.

“Itu yang menjadi punca utama tersebarnya Covid-19,” katanya.

Menurutnya, walaupun penularan dalam negara masih terkawal, indikator kadar kebolehjangkitan (R-Naught) yang meningkat kepada angka 1.0, mungkin merupakan tanda-tanda awal bakal berlakunya peningkatan jangkitan baharu.

“1.0 bermaksud kes akan mendatar, ia tidak menurun lagi. Kalau dahulu, 0.8 bermakna ada penurunan 20 peratus satu kitaran, tapi sekarang ia mendatar.

“Ini tanda-tanda awal kes mungkin akan melonjak naik, jadi Kementerian Kesihatan menyeru orang ramai yang pertama, kepatuhan kepada SOP,” katanya.

Terdahulu, beliau memaklumkan jangkitan baharu Covid-19 di seluruh negara dalam tempoh 24 jam sehingga 12 tengah hari tadi naik lagi buat empat hari berturut-turut, dengan mencatatkan 6,517 kes, berbanding 6,323 kes semalam.

Jumlah terbaharu itu menjadikan kumulatif positif sejak awal tahun lalu hingga tengah hari tadi meningkat kepada 2,535,338 kes. Bagaimanapun, sehingga semalam 2,435,459 pesakit Covid-19 disahkan sembuh.

Dalam perkembangan terbaharu, Dr Noor Hisham memaklumkan sembilan kluster baharu dikesan hari ini menjadikan keseluruhannya 5,837 kluster dengan 5,551 telah ditamatkan dan 286 masih aktif.

Beliau berkata daripada 6,517 kes harian yang dilaporkan pada hari ini, 125 kes atau 1.9 peratus membabitkan pesakit kategori 3, 4, dan 5, manakala selebihnya dalam kategori 1 dan 2.

Menurutnya seramai 544 pesakit kini dirawat di unit rawatan rapi dengan 269 daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan.

BERITA BERKAIT
POPULAR