Covid-19: Varian Delta ganas, perkara yang perlu anda tahu

Varian Delta menghantui dunia dalam tempoh tiga bulan terakhir ini. Virus SARS-CoV-2 jenis inilah yang menjadi penyebab lonjakan jangkitan baharu Cocid-19 di pelbagai negara.

Menurut rekod WHO, sehingga 16 Jun lalu, varian ini telah tersebar hingga lebih 80 buah negara, sedangkan virus ini baru dikesan pada akhir tahun 2020 di India.

Varian yang memiliki nama lain iaitu B.1.617.2 sewaktu pertama kali dikesan pada akhir tahun 2020 di India. Selang empat bulan selepas ia dikesan, varian ini menjadi penyebab gelombang jangkitan COVID-19 di India.

Kenapa ia lebih berbahaya?

Menurut Ketua Unit dan Pakar Perunding Kecemasan Hospital Pakar KPJ Johor, Prof Dr Rashidi Ahmad, genetik virus varian merubah struktur dan kelakuan virus asal dan keberkesanan vaksin yang sedia ada.

“Sebagai contoh, jangkitan virus Alpha dan Delta  cepat merebak dan menyebabkan simptom yang teruk dan terpaksa dirawat di hospital. Di United Kingdom, data statistik menunjukkan 90 peratus kes jangkitan disebabkan oleh varian Delta dan Alpha .

“Kebolehjangkitan varian Delta varian adalah 55 peratus berbanding Alpha  dan kebolehjangkitan Alpha varian pula adalah 50 peratus berbanding virus Covid-19 asal. Perkara yang lebih mengejutkan ialah varian Delta  menyebabkan kadar kematian 64 peratus lebih tinggi daripada virus asal.

“Di Brazil, varian Gamma menyebabkan kadar jangkitan Covid-19 mendadak naik dalam kalangan orang muda berbanding dengan orang tua sebelumnya. Kadar kematian juga meningkat tiga kali ganda berbanding jangkitan Covid-19 asli,” jelasnya kepada Utusan Malaysia.

Mengulas langkah pencegahan varian ini, beliau memberitahu, menghalang penyebaran covid-19 adalah kaedah yang paling utama.

Justeru, patuhilah saranan doktor dan kerajaan agar melakukan penjarakan sosial sekurang-kurangnya satu meter, sentiasa membasuh tangan dengan sabun atau menggunakan sanitizer, pakai topeng pembedahan atau N95 dan elakkan berada di tempat yang sesak dengan orang ramai.

“Masyarakat digalakkan untuk menerima vaksin terutama mereka yang berisiko tinggi seperti orang-orang tua dan mereka yang mempunyai penyakit kronik terutama kencing manis, darah tinggi dan sakit jantung. Peranan vaksin bukan untuk halang jangkitan. Vaksin adalah untuk kita memiliki sistem imun yang kuat supaya sekiranya kita dijangkiti, gejala tidak teruk.

Walaubagaimanapun jika program suntikan vaksinasi penduduk Malaysia berjaya mencapai lebih daripada 80 peratus, ia mampu mengurangkan penularan wabak ini bahkan kadar penggunaan atau beban sistem kesihatan negara juga akan berkurangan,” katanya.

Dalam pada itu, Dr. Rashidi menyokong usaha kerajaan  membangunkan dua jenis vaksin menggunakan teknologi sama seperti penghasilan vaksin Pfizer-BioNTech dan Sinovac.

“Ia satu tindakan yang wajar dan bijaksana demi memastikan kesejahteraan dan kelestarian hidup penduduk Malaysia. Malaysia tidak sepatutnya semata-mata bergantung harap atau belas ihsan peruntukkan vaksin daripada negara pengeluar. Ini kerana vaksin keluaran negara kita lebih murah dan kemungkinan lebih selamat, sesuai dan efektif khusus kepada penduduk Malaysia itu sendiri.

“Selain itu, Malaysia sudah mempunyai pakar-pakar dalam bidang virologi dan immunologi daripada Universiti dan makmal termaju dan moden seperti “Institute for Medical Research (IMR)” di Setia Alam,” jelasnya.

Beliau turut menggalakkan orang ramai mendaftar segera untuk program vaksin. Ini kerana keengganan orang ramai  untuk menerima vaksin yang ditawarkan boleh membahayakan nyawa jika terdedah kepada virus Covid-19 ketika menanti vaksin impian anda. Perumpamaan sikap ini ialah ibarat mendengar guruh di langit, air tempayan dicurahkan. Hasilnya ialah yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran.

“Persepsi kerajaan kita ketika ini ialah berdasarkan keperluan yang mendesak  iaitu mempertahankan sistem kesihatan dan perubatan negara yang semakin meruncing, menyekat penularan Covid-19 dalam kalangan masyarakat, mengurangkan kadar kematian yang tinggi dan memulihkan ekonomi negara yang semakin merosot.

“Ini penting  untuk memastikan seluruh rakyat menerima vaksin agar imuniti kelompok dapat tercapai secepat mungkin dan seluruh rakyat Malaysia boleh menjalani kehidupan seperti sebelum pandemik dengan sedikit perubahan norma baru ini,” jelasnya.

FAKTA

  • Varian Delta lebih mudah menular berbanding varian lain.
  • Bukti menunjukkan ia 40 hingga 60 peratus lebih mudah ditularkan berbanding varian Alpha yang dominan di Amerika Syarikat (AS) dan United Kingdom (UK).
  • Malah, varian Delta lebih mudah ditularkan daripada varian asal virus yang pertama kali dikesan di Wuhan.
  • Varian yang pertama kali dikesan di India ini juga lebih berbahaya berbanding varian lain.
  • Satu kajian mendapati pesakit dijangkiti varian Delta adalah dua kali ganda berkemungkinan dimasukkan ke hospital berbanding pesakit dijangkiti varian Alpha.
  • Gejala dihidap pesakit varian Delta juga berbeza dengan simptom COVID-19 biasa sekali gus memudahkan individu dijangkiti menyebarkan virus itu secara tidak sengaja.
  • Ini kerana ia menyerupai simptom selesema biasa termasuk sakit kepala, hidung berair dan sakit tekak.
  • Kumpulan yang tidak divaksinasi merupakan golongan yang paling berisiko terhadap varian Delta.
  • Kanak-kanak dan golongan muda yang tidak diberikan vaksin dan baru mengikuti program tersebut telah mendorong lonjakan kes baharu di beberapa negara, terutamanya di sekolah.

BERITA BERKAIT
POPULAR