Covid-19: Tanggungjawab atas diri sendiri

Sepatutnya apabila sudah dua tahun kita hidup bersama Covid-19, kita sewajarnya mengenali virus ini dan sudah arif bagaimana untuk mengelak jangkitan.

Namun, walaupun sudah dua tahun kita masih melakukan kesilapan sama, kita sudah tidak boleh tunggu untuk semua masyarakat berubah 100 peratus lagi dan mahu tidak mahu kita perlu teruskan kehidupan.

Timbalan Pengarah Kawalan Penyakit (Survelan) Kementerian Kesihatan (KKM) Dr Asiah Ayob berkata, masyarakat dan semua pihak boleh membantu mengekang penularan Covid-19 dengan mendapatkan vaksin lengkap dan dos penggalak.

“Selain itu, rakyat Malaysia yang berumur 60 tahun ke atas adalah golongan yang berisiko tinggi dan harus mendapatkan dos penggalak dengan segera.

“Terus kekal SOP (prosedur operasi standard) sedia ada dengan lebih rapi kerana ia terbukti berkesan untuk mencegah penularan jangkitan serta harus membudayakan tingkah laku baik ini iaitu mengamalkan 3W (‘Wear, Wash and Warn’) dan mengelakkan 3S (Sempit, Sesak dan Sembang Rapat),” katanya.

Sementara itu, pakar kesihatan pekerjaan, kecemasan dan kesihatan awam Dr Hanafiah Bashirun berkata, orang ramai tidak perlu menunggu arahan sekatan pergerakan daripada kerajaan sebaliknya mengambil langkah proaktif berbuat demikian dalam mengekang penularan varian Omicron yang merebak dengan pantas.

“Apabila kita nak menuju ke fasa endemik, kita tidak perlu tunggu kerajaan buat keputusan. Sebagai contoh, majikan yang bijak, apabila dia nampak kes Covid-19 naik, mereka akan mengurangkan jumlah pekerja yang hadir ke pejabat dan membenarkan bekerja dari rumah,” ujarnya.

Tambah beliau,  orang ramai perlu proaktif dan bertanggungjawab serta mengurangkan aktiviti sosial di luar sekiranya tiada keperluan dalam usaha menjaga kesihatan keluarga dan masyarakat sekeliling.

“Sektor pendidikan juga perlu mengambil tindakan proaktif sekiranya kes di sekolah menunjukkan trend peningkatan tanpa menunggu pengumuman daripada Kementerian Pendidikan,” katanya.

Tidak ketinggalan, Pakar Perubatan Kesihatan Awam Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) Prof Madya Dr Mohd Dzulkhairi menyarankan agar orang ramai tidak melakukan aktiviti atau perjalanan serentak.

“Kita lihat seperti musim perayaan, pulang ke kampung serentak boleh menyebabkan kesesakan di lebuh raya, kedai makan dan tandas.

“Ini perlu dielakkan dan elakkan berkumpul dahulu dengan keluarga besar. Ambil giliran untuk balik ke kampung serta terus amalkan SOP,” katanya.

Beliau turut menggalakkan untuk melakukan ujian kendiri saringan Covid-19 sebelum melakukan perjalanan dan paling penting jangan membuat perjalanan jika berasa tidak sihat.

BERITA BERKAIT
POPULAR