Covid-19: Semua negeri rekod kes di bawah 1,000, 63 kematian dilapor

Jangkitan baharu Covid-19 di enam daripada 16 negeri dan Wilayah Persekutuan hari ini merekodkan peningkatan, namun semuanya di bawah paras 500 kes.

Dalam tempoh 24 jam sehingga 12 tengah hari tadi, 63 pesakit Covid-19 turut dilaporkan meninggal dunia, menjadikan kumulatif sejak awal tahun lalu hingga hari ini sebanyak 28,975 kes kematian.

Berdasarkan statistik Jabatan Kesihatan Negeri, dalam tempoh 24 jam itu juga, Kelantan, Johor, Pulau Pinang, Pahang, Perlis dan Putrajaya mencatat peningkatan kes baharu.

Kelantan merekodkan 461 kes baharu, berbanding 370 semalam. Sejak awal tahun lalu sehingga semalam kumulatif positif di negeri itu mencecah 139,040 kes, dengan 132,944 pesakit telah sembuh.

Mengikut rekod Kementerian Kesihatan (KKM) terdapat 5,103 kes aktif di negeri itu dengan 3,705 pesakit menjalani kuarantin di rumah, 732 ditempatkan di PKRC, 626 dirawat di hospital, 61 di unit rawatan rapi, dan 1,022 kematian, termasuk 219 kes ‘brought in death’ (BID).

Dari segi pemberian vaksin, seramai 1,118,255 atau 58.6 peratus individu di Kelantan telah lengkap divaksinasi, manakala 61.4 peratus atau 1,172,416 lagi menerima sekurang-kurangnya satu dos, 12,171 menerima dos penggalak, dan 38.6 peratus lagi belum divaksin.

Sementara itu, Johor merekodkan 408 kes hari ini, berbanding 363 semalam; Pulau Pinang (318 hari ini, 255 semalam); Pahang (288 hari ini, 256 semalam); Perlis (46 hari ini, 16 semalam); dan Putrajaya (34 kes hari ini, 33 semalam).

Selangor kekal mencatat jumlah jangkitan baharu tertinggi, tetapi di bawah paras 1,000. Negeri itu hari ini merekodkan 883 kes baharu berbanding 1,128 semalam.

BERITA BERKAIT
POPULAR