
Jumlah jangkitan baharu Covid-19 dan kes sembuh di seluruh negara semalam, 29 Julai 2022.
Selangor mencatat jangkitan baharu Covid-19 tertinggi berbanding negeri dan Wilayah Persekutuan lain, semalam (Jumaat, 29 Julai), dengan lima pesakit meninggal dunia akibat komplikasi virus SAR-CoV-2.
Data laman sesawang CovidNOW Kementerian Kesihatan (KKM) yang dikemas kini tengah malam tadi menunjukkan Selangor mencatat 1,649 kes baharu semalam, berbanding 1,167 yang direkodkan pada Khamis.
Jumlah itu menjadikan kumulatif positif Covid-19 di Selangor sejak Januari 2020 hingga semalam meningkat kepada 1,425,428, dengan 1,400,363 pesakit telah sembuh.
Sementara itu, jangkitan baharu Covid-19 di seluruh negara semalam turut meningkat kepada 4,860 kes, berbanding 3,926 yang dicatat pada Khamis.
Jumlah itu menjadikan kumulatif positif sejak 2020 meningkat kepada 4,672,999, dengan 4,588,743 pesakit telah sembuh, termasuk 3,839 yang pulih semalam.
Daripada jumlah kes baharu berkenaan, 3,557 kes melibatkan individu yang menerima dos penggalak vaksin Covid-19, diikuti 916 kes (penerima dos kedua); 374 kes (individu tidak divaksinasi); dan 13 kes (individu belum lengkap vaksinasi).
Menurut KKM, kes aktif Covid-19 sehingga kini naik sedikit kepada 48,300 ke, berbanding 47,286 pada Khamis, termasuk 46,334 pesakit masih menjalani kuarantin di rumah (45,657 pada Khamis), dan 23 ditempatkan di PKRC (30 pada Khamis).
Seramai 1,883 pesakit dirawat di hospital, meningkat berbanding 1,539 pesakit pada Khamis, manakala 60 pesakit dimasukkan ke unit rawatan rapi, dengan 34 daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan (35 pada Khamis).
Berikut adalah pecahan kes baharu semalam serta kumulatif positif sejak Januari 2020 lalu mengikut negeri:
- Kuala Lumpur – 1,466 (402,303);
- Johor – 95 (388,567);
- Sabah – 292 (381,043);
- Sarawak – 94 (309,563);
- Kedah – 150 (304,243);
- Pulau Pinang – 246 (290,346);
- Kelantan – 64 (249,535);
- Perak – 272 (214,544);
- Negeri Sembilan – 195 (213,137);
- Pahang – 73 (173,947);
- Melaka – 112 (129,087);
- Terengganu – 21 (127,343);
- Putrajaya – 95 (24,184);
- Labuan – 30 (21,857); dan
- Perlis – 6 (17,872).
Sementara itu, KKM juga memaklumkan seramai 10 pesakit meninggal dunia akibat komplikasi Covid-19 semalam, termasuk satu kes kematian di luar fasiliti kesihatan atau kes ‘brought in death’ (BID).
Selain lima kes kematian yang dicatat di Selangor, Johor serta Kedah masing-masing merekodkan dua kematian, manakala satu lagi di Sabah.
Jumlah itu menjadikan seramai 35,956 pesakit meninggal dunia sejak Mac 2020 hingga semalam, dengan 7,637 daripadanya adalah kes BID.