Covid-19: Selangor catat kematian tertinggi semalam sebanyak 111 kes

Jumlah kematian akibat jangkitan Covid-19 dalam tempoh 24 jam pada Isnin, 13 September 2021, meningkat semula berbanding sehari sebelumnya, menurut data terbaharu Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang dikemas kini dalam laman web COVIDNOW.

Dalam tempoh 24 jam semalam, KKM memaklumkan 413 pesakit meninggal dunia, meningkat berbanding sehari sebelumnya sebanyak 292 kes.

Jumlah terbaharu itu menjadikan kumulatif sejak pesakit pertama Covid-19 di Malaysia meninggal dunia awal tahun lalu, meningkat kepada 21,124 kes.

Daripada jumlah pesakit yang meninggal dunia semalam, 176 kes membabitkan kematian sebelum bantuan perubatan dapat diberikan atau BID. Kematian seperti ini, direkodkan sebagai kes baharu dan kematian baharu secara serentak.

Data KKM juga menunjukan sembilan negeri mencatatkan peningkatan kes kematian, dengan Selangor merekodkan jumlah tertinggi sebanyak 111 kes semalam, berbanding 45 kes kelmarin.

Negeri lain yang mencatat peningkatan ialah Kedah sebanyak 54 kes semalam (36 kes kelmarin); Johor (52 semalam, 16 kelmarin); Kelantan (36 semalam, 13 kelmarin); dan Pulau Pinang (33 semalam, 16 kelmarin).

Pahang pula merekodkan 15 kes kematian semalam, berbanding tujuh kelmarin; Melaka (13 semalam, 2 kelmarin); Perak (13 semalam, 11 kelmarin); dan Terengganu (5 semalam, 4 kelmarin).

BERITA BERKAIT
POPULAR