Covid-19: Sabah catat peningkatan kes lima hari berturut-turut

Hanya empat negeri merekodkan peningkatan jangkitan baharu Covid-19 dalam tempoh 24 jam sehingga 12 tengah hari tadi, seiring dengan penurunan kes keseluruhan daripada 3,997 semalam kepada 3,573 kes hari ini, menurut statistik Jabatan Kesihatan Negeri-Negeri, yang dikeluarkan malam ini.

Bagaimanapun, Sabah terus mencatat peningkatan kes harian lima hari berturut-turut sejak 27 Disember lalu, dengan hari ini merekodkan 231 kes berbanding 226 kes semalam.

Peningkatan jangkitan di Sabah bermula 27 Disember lalu sebanyak 125 kes berbanding 108 pada 26 Disember, diikuti 168 kes (28 Disember); dan 192 kes (29 Disember).

Pahang turut mencatat peningkatan kes harian hari ini apabila merekodkan 315 jangkitan baharu berbanding 254 kes semalam, menjadikan kumulatif positif di negeri itu mencecah 95,346 kes, dengan sehingga semalam 91,784 pesakit sembuh, dan 2,480 kes masih aktif.

Daripada jumlah kes aktif itu seramai 1,670 pesakit menjalani kuarantin di rumah; 579 ditempatkan di PKRC; 216 dimasukkan ke hospital; dan 15 dirawat di unit rawatan rapi (ICU), dengan 13 daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan.

Pahang juga setakat ini merekodkan 767 kematian, termasuk 96 pesakit yang meninggal dunia sebelum sempat dirawat di hospital atau dikategorikan sebagai kes ‘brought in death’ (BID).

Sebanyak 13 daripada 363 kluster yang dikesan di Pahang masih aktif, dengan lima daripadanya membabitkan komuniti; tempat kerja (tiga); import (dua); dan masing-masing satu kluster berkaitan kumpulan berisiko tinggi, pendidikan, dan pusat tahanan, yang keseluruhannya membabitkan 350 individu.

Dalam tempoh sama juga Pulau Pinang turut mencatat peningkatan kes harian hari ini apabila merekodkan 238 kes baharu, berbanding 207 semalam, diikuti Perlis (15 kes baharu, tujuh semalam).

Selangor walaupun mencatat penurunan kes, kekal berada di tempat teratas apabila merekodkan 949 kes baharu, berbanding 965 semalam.

Sementara itu, Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata sebanyak 343 lagi kes import dikesan dalam tempoh 24 jam sehingga 12 tengah hari tadi yang turut melibatkan 16 rakyat asing, menjadikan kumulatif kes import sebanyak 8,301 kes.

Selebihnya iaitu 2,230 kes baharu adalah jangkitan tempatan yang juga melibatkan 199 rakyat asing, katanya.

Menurutnya sebanyak lima lagi kluster baharu dikesan menjadikan keseluruhannya 6,128 kluster dengan 5,911 telah ditamatkan dan 217 lagi masih aktif.

“Daripada 3,573 kes harian yang dilaporkan pada hari ini, 52 kes atau 1.5 peratus adalah kategori 3, 4, dan 5; dan 3,521 kes (98.5 peratus) lagi adalah terdiri daripada kategori 1 dan 2,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata sehingga kini 269 pesakit masih dirawat di ICU, dengan 163 daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan.

Dr Noor Hisham juga memaklumkan dua lagi mangsa banjir dikesan positif Covid-19 menjadikan keseluruhannya 444 kes.

“Sehingga hari ini jumlah mangsa banjir di pusat pemindahan sementara yang positif Covid-19 kekal sebanyak 15 individu, dan satu kluster,” katanya.

BERITA BERKAIT
POPULAR