Covid-19: PM nasihat kawal diri

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sekali lagi menasihatkan masyarakat supaya kekal melakukan kawalan kendiri bagi mengelakkan dijangkiti wabak Covid-19.

Ismail Sabri berkata kawalan kendiri tetap perlu dilakukan dalam suasana penuh kemeriahan dan kegembiraan umat Islam menyambut Hari Raya Aidilfitri bagi memastikan kesihatan diri sendiri serta masyarakat sekeliling sentiasa dalam keadaan baik.

“Di dalam bangunan masih lagi memakai pelitup muka, diwajibkan, tetapi di luar bangunan di kawasan terbuka seperti ini (masjid) tidak lagi memakai pelitup muka,” katanya memetik laporan Bernama.

Ismail Sabri juga menzahirkan rasa puas hati beliau terhadap sikap berhati-hati dan amalan kendiri orang ramai dalam mencegah jangkitan Covid-19.

“Tetapi saya lihat sewaktu saya datang tadi, ramai yang berjalan kaki ke masjid ini, masih lagi memakai pelitup muka. Bermakna rakyat masih lagi berhati-hati. Menjaga dan mengawal kendiri untuk kesihatan diri, anak dan keluarga masing-masing.

“Jadi alhamdulillah. Kita walaupun diberi kebebasan, tidak terlalu terbuka, bebas dan masih lagi berhati-hati, alhamdulillah,” katanya ketika ditemui sebelum pulang dari Masjid Wilayah Persekutuan di sini selepas menunaikan solat sunat Aidilfitri.

Perdana Menteri turut mengambil kesempatan untuk sekali lagi mengucapkan selamat Hari Raya Aidilfitri kepada umat Islam.

Pada 27 April, Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin mengumumkan beberapa kelonggaran langkah kawalan dan pencegahan Covid-19 berkuat kuasa 1 Mei antaranya pemakaian pelitup muka di luar bangunan akan menjadi pilihan bukan lagi satu kewajipan selain tidak wajib mengimbas aplikasi MySejahtera untuk memasuki premis.

Kelonggaran langkah kawalan dan pencegahan Covid-19 di negara ini adalah selaras dengan Fasa Peralihan Ke Endemik.

BERITA BERKAIT
POPULAR