
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Noor Hisham Abdullah menerima dos suntikan vaksin Covid-19. - Gambar Twitter
Mereka yang sudah menerima dos lengkap vaksin Covid-19 masih perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.
Ini kerana, katanya, wujud perkembangan mutakhir yang menunjukkan kemunculan varian baharu SARS-CoV-2 di luar negara, yang dikhuatiri boleh menganggu keberkesanan program imunisasi Covid-19 kebangsaan sekarang.
Dalam satu kenyataan hari ini, beliau berkata, pengembara dari luar negara, terutama dari negara-negara dengan kadar jangkitan Covis-19 yang tinggi, berisiko meningkatkan penularan jangkitan penyakit ini ke Malaysia.
“Sehubungan itu, kerajaan menetapkan beberapa langkah pencegahan. Sebagai contoh, kawalan sempadan negara, saringan COVID-19 di semua pintu masuk antarabangsa dan pelaksanaan perintah kuarantin wajib di tempat kediaman atau stesen kuarantin bagi semua pengembara.
“Ia terus dijalankan walaupun individu berkenaan sudah mendapat vaksin Covid-19 yang lengkap di negara asal sebelum mereka berlepas. Kita menasihati individu terbabit supaya terus mematuhi semua SOP ditetapkan,” katanya.