Covid-19: Lebihan kematian di Malaysia lebih rendah berbanding negara lain

Lebihan kematian semasa wabak Covid-19 di Malaysia adalah lebih rendah berbanding kebanyakan negara, menurut Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata analisis lebihan kematian itu dibuat dengan membandingkan jumlah kematian sebelum, semasa dan selepas pandemik Covid-19, lapor Bernama.

Lebihan kematian semasa pandemik Covid-19 adalah jumlah kematian direkodkan dalam tempoh itu, dan dibandingkan dengan jumlah kematian yang dijangka berdasarkan trend direkodkan sebelum pandemik Covid-19.

Beliau berkata kajian mengenai lebihan kematian yang dijalankan Institut Kesihatan Umum Kementerian Kesihatan itu membolehkan perbandingan lebihan kematian antara Malaysia dengan negara lain dari segi keberhasilan mengawal Covid-19 dan mengawal jumlah kematian dalam negara.

“Kita berjaya mencari keseimbangan antara langkah kawalan yang dilaksanakan untuk mengurangkan penularan jangkitan Covid-19 dan mengelakkan terlalu banyak gangguan (sistem) kesihatan negara dan mengelakkan jumlah kematian yang melonjak,” katanya menerusi sesi taklimat media di platform Zoom hari ini.

Melalui kajian itu, beliau berkata KKM dapat memahami perubahan corak kematian yang membolehkan kementerian mengukur perubahan dalam sistem kesihatan dan masyarakat.

Katanya, ini akan menyumbang kepada penambahbaikan untuk dilaksanakan KKM bagi mengelakkan kematian seperti menambah baik sistem perkhidmatan di unit rawatan rapi di hospital.

Selain itu, Dr Noor Hisham berkata lebihan kematian akibat Covid-19 di seluruh dunia adalah dianggarkan 15 juta orang, lebih dua kali ganda dengan kematian rasmi yang dilaporkan iaitu lebih enam juta individu.

Ketua Unit Pusat Penyelidikan Tinjauan Institut Kesihatan Umum Institut Kesihatan Negara Dr G. Shubash Shander ketika membentangkan analisis ‘Excess Mortality during Covid-19 in Malaysia’ dari Mac 2020 hingga Dis 2021 pula mendedahkan lebihan kematian negara berada pada kadar rendah iaitu 2.4 peratus.

“Analisis lebihan kematian dapat mengenal pasti impak sebenar pandemik Covid-19 terhadap bilangan kematian akibat Covid-19…sama ada disebabkan Covid-19 atau sebab-sebab lain, semua kematian diambil kira dalam pengiraan (analisis) ini.

“…satu lagi kepentingan (analisis) lebihan kematian ini adalah jika terdapat kes Covid-19 yang tidak dikesan, iaitu kita tidak mengetahui ia adalah kes Covid-19 dan tidak dilaporkan sebagai kes kematian Covid-19, ini dapat dilihat dalam lebihan kematian kerana kita mengambil kira semua kematian,” katanya.

Beliau berkata analisis itu mengguna pakai data kematian diperoleh daripada Jabatan Pendaftaran Negara, dan data kemasukan ke hospital daripada Pusat Informatik Kesihatan Kementerian Kesihatan dari 2015 hingga 2021.

BERITA BERKAIT
POPULAR